LEICESTER, England: Pengurus Leicester City, Ruud van Nistelrooy bermula langkah kanan dalam aksi pertama kendaliannya apabila mereka menundukkan West Ham United 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi.
Penyerang veteran Jamie Vardy, pemain berusia 20 tahun Bilal El Khannouss dan pemain gantian Patson Daka meledak gol ketika Leicester menggunakan peluang mereka manakala West Ham yang mendominasi bersalah kerana mensia-siakan beberapa peluang baik, hanya meraih gol sagu hati lewat daripada Niclas Fuellkrug.
Van Nistelrooy dilantik Jumaat lalu untuk menggantikan Steve Cooper selepas The Foxes bermula buruk musim ini dan sekalipun beliau tidak banyak masa bersama anak buah baharunya, ketibaannya menyuntik semangat yang diperlukan di kelab itu.
Kemenangan itu melonjak Leicester, yang kali terakhir menang enam minggu lalu, daripada satu mata di atas zon penyingkiran ke tangga ke-15, manakala West Ham satu anak tangga di atas mereka.
Vardy, 37, mengatasi perangkap ofsaid untuk membuka tirai jaringan selepas 98 saat sekalipun VAR memerlukan lebih dua minit untuk mengesahkan dia berada dalam kedudukan onsaid.
Gol kedua Leicester hadir selepas sejam apabila El Khannouss merembat masuk hantaran tepat Kasey McAteer selepas bola hantaran jauh ke kiri daripada Facundo Buonanotte memecah benteng West Ham.
Selepas Daka merembat kencang pada minit ke-90 untuk mengukuhkan kedudukan, West Ham akhirnya menemui jaringan empat minit masa kecederaan menerusi tandukan Fuellkrug sekembalinya daripada kecederaan.
“Dari segi jangka panjang kami tahu persembahan perlu ditingkatkan. Namun semangat dan bagaimana kami melakukannya hari ini, jelas Liga Perdana terlalu kejam,” kata Van Nistelrooy.
Pengendali dari Belanda itu ‘terpukau’ dengan jumlah tawaran diterimanya selepas mengendali Manchester United secara sementara bagi empat perlawanan, termasuk dua kemenangan ke atas Leicester.
Penyerang berbisa pada zaman permainannya, Van Nistelrooy memerhati penuh teruja ketika Vardy membuka tirai jaringan dengan bergaya di King Power. – REUTERS/AFP