Vivy, suami berdepan pertuduhan kes pecah amanah Khazanah, PNB

KUALA LUMPUR – Pengasas platform e-dagang, FashionValet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar tiba di Mahkamah Sesyen, di sini, jam 8.33 pagi tadi.

Pengasas platform e-dagang FashionValet, Datin Vivy Sofinas Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar hari ini didakwa atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berjumlah RM8 juta.

Bagaimanapun Vivy, 37, dan Fadzarudin, 36, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Rosli Ahmad di Mahkamah Sesyen, di sini.

Vivy yang memakai pakaian serba putih kelihatan tenang dan berpimpin tangan dengan suaminya memasuki kompleks mahkamah.

Mereka tiba dengan menaiki kenderaan berwarna hitam dan dikerumuni pengamal media yang menanti ketibaan pasangan suami isteri itu di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur seawal jam 7 pagi tadi.

Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa dengan niat bersama sebagai Pengarah Fashion Valet Sdn Bhd yang telah diamanahkan dana pelaburan Khazanah dan PNB telah melakukan pecah amanah dana pelaburan tersebut.

Ia di mana kedua-dua tertuduh membuat pembayaran berjumlah RM8 juta daripada akaun bank milik syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd. (Fashion Valet) kepada syarikat 30 Maple Sdn. Bhd. tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah syarikat Fashion Valet.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Public Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara di 36-40 Medan Setia 2, Plaza Damansara Bukit Damansara, di sini, pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebat dan denda jika sabit kesalahan

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Ashok Athimulan. – MalaysiaGazette

Source :