Motif peribadi, kewangan jadi fokus siasatan kes bunuh penuntut IPT – Shazeli

SHAH ALAM – Pembunuhan seorang penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 23 Jun lalu bermotifkan konflik peribadi, hubungan serta isu kewangan antara mangsa dan suspek.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, hasil siasatan awal mendapati suspek dan mangsa dipercayai saling mengenali sebelum kejadian berlaku.

Menurut beliau, siasatan setakat ini menjurus kepada pertelingkahan yang berkait dengan aspek hati dan perasaan selain masalah perbelanjaan harian.

“Pada peringkat awal, polis berpendapat motif kejadian adalah disebabkan isu peribadi yang melibatkan hati dan perasaan serta isu perbelanjaan harian.

“Kita percaya suspek dan si mati adalah kenalan yang mengenali antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Terdahulu, seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) ditemui maut disyaki dibunuh di sebuah kondominium di Bandar Sunway, Petaling Jaya, pada Selasa lalu.

Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa berusia 20-an dipercayai telah meninggal dunia dan terdapat beberapa kesan kecederaan pada tubuh badannya.

Dalam pada itu, Shazeli menegaskan, siasatan masih diteruskan dan polis tidak menolak kemungkinan terdapat elemen lain yang boleh membantu melengkapkan gambaran sebenar kejadian.

Dalam perkembangan sama, polis percaya individu yang ditahan merupakan suspek utama kes berkenaan.

“Setakat ini kita percaya itulah suspek utama yang terlibat. Namun kita tidak boleh menutup ruang siasatan sehingga proses penyiasatan selesai sepenuhnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Sumber : MalaysiaGazette