Maritim Malaysia tumpas sindiket rokok seludup RM65.75 juta di perairan Sipadan

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mencatat rampasan terbesar dalam sejarah apabila menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok di perairan selatan Pulau Sipadan, Semporna dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM65.75 juta.

Dalam Op Sejahtera dan Op Tiris yang digerakkan kira-kira 1 pagi Isnin lalu, pasukan itu mengesan kapal kargo dan bot kumpit yang disyaki digunakan bagi memindahkan ribuan kotak rokok tanpa cukai, dipercayai dibawa dari Vietnam untuk dipasarkan di Malaysia, selain Filipina dan Indonesia.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, kejayaan itu hasil maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan terhadap kegiatan penyeludupan di perairan berkenaan.

Katanya, hasil rondaan yang dilakukan oleh pasukan 12 anggota KM Kidurong membawa kepada pengesanan kapal kargo mencurigakan kira-kira tujuh batu nautika di selatan Pulau Sipadan.

“Pemantauan mendapati kapal kargo itu sedang menjalankan aktiviti pemindahan dan pemunggahan beberapa kotak berwarna coklat ke bot kumpit.

SUMBER : BULETIN TV3