Alcaniz ketua jurulatih baharu NSFC

SEREMBAN: Negeri Sembilan FC (NSFC) mengumumkan pelantikan jurulatih dari Sepanyol, Daniel Gimenez Alcaniz, sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu bagi menghadapi saingan Liga Super Malaysia musim 2026/27.

Jurulatih berusia 42 yang juga pemegang Lesen UEFA Pro itu memiliki pengalaman lebih sedekad dalam bola sepak profesional merentasi Eropah, Asia dan Afrika.

Sepanjang karier kejurulatihannya, Alcaniz pernah berkhidmat bersama Al Ahed FC (Lubnan), Al Nejmeh SC (Lubnan), Al Hilal (Sudan), Modern Sport FC (Mesir), Akhaa Al Ahly FC (Lubnan), skuad Bawah 17 Tahun Kebangsaan Lubnan serta Al-Nasr Club di Liga Profesional Oman.

Antara pencapaian terbesarnya adalah memenangi AFC Cup 2019 bersama Al Ahed FC selain menjuarai Liga Perdana Sudan bersama Al Hilal.

Terkini, Alcaniz menamatkan saingan Liga Profesional Oman bersama Al Nasr di tempat ke-3 dan melayakkan kelab ke saingan Piala Juara-Juara Kelab Arab.PauseNextMute

Menteri Besar merangkap Pengerusi Negeri Sembilan FC, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pelantikan Alcaniz adalah selaras dengan hala tuju dan DNA yang ingin diterapkan oleh Negeri Sembilan FC.

Beliau berkata, kelab itu ingin menekankan kepada pembangunan pemain muda, identiti permainan yang jelas, disiplin taktikal serta pembentukan pasukan yang kompetitif dan mampan.

“Apa yang menarik perhatian kami bukan sahaja pengalaman beliau di pelbagai negara dan pertandingan antarabangsa, tetapi juga falsafah bola sepak yang seiring dengan identiti Negeri Sembilan FC.

“Kami mahu membina sebuah pasukan yang berani bermain bola sepak moden, mempunyai organisasi taktikal yang baik dan pada masa yang sama memberi ruang serta peluang kepada pemain muda untuk berkembang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Aminuddin, Daniel mempunyai rekod yang baik dalam membangunkan bakat muda dan memaksimumkan potensi pemain.

Katanya, ini amat penting dan percaya masa depan Negeri Sembilan FC bergantung kepada keupayaan kelab membangunkan generasi pemain yang mampu menjadi tulang belakang pasukan dalam jangka masa panjang.

“Kami yakin pengalaman, kepakaran dan kepimpinan beliau mampu membantu Negeri Sembilan FC mencapai sasaran yang telah ditetapkan serta membawa kelab ini ke tahap yang membanggakan.

“Pengendali itu dijangka akan memulakan tugasnya dalam masa terdekat bersama barisan kejurulatihan yang akan diumumkan oleh pihak kelab,” katanya yang berharap seluruh penyokong pasukan Hobin Jang Hobin dapat memberikan sokongan penuh kepada pengendali terbabit dalam memulakan era baharu bersama kelab.