Hujan lebat akibat ribut melanda, sebahagian Taiwan dan Jepun ditutup

TAIPEI/TOKYO : Hujan lebat akibat ribut tropika Mekkhala yang melanda selatan Taiwan menyebabkan lebih lima juta penduduk di beberapa wilayah utama negara itu terpaksa berhenti kerja dan bersekolah hari ini.

Akibat hujan lebat itu, Jepun turut mengeluarkan amaran banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Ribut tropika itu kini semakin lemah dan menghampiri Kepulauan Ryukyu di selatan Jepun tidak melanda Taiwan secara langsung, namun kesan pinggirannya membawa hujan lebat terutama di Kaohsiung, Tainan dan Pingtung di selatan Taiwan.

Kerajaan di ketiga-tiga wilayah berkenaan mengarahkan semua pejabat dan sekolah ditutup, manakala banjir di Tainan turut menyebabkan sebahagian laluan utama kereta api utara-selatan dihentikan operasi.

Di Jepun, Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran tahap tinggi berikutan risiko tanah runtuh, banjir dan sungai melimpah di beberapa kawasan barat dan selatan negara itu.

Pihak berkuasa turut mengarahkan pemindahan kira-kira 2.2 juta penduduk.

Hujan lebat yang diburukkan oleh sistem monsun hampir pegun serta aliran udara panas dan lembap turut menyebabkan gangguan besar terhadap pengangkutan di Jepun.

Kementerian Pengangkutan Jepun berkata, lebih 200 penerbangan dibatalkan, puluhan laluan kereta api dihentikan dan beberapa lebuh raya ditutup.

Menurutnya, syarikat automotif Toyota turut menggantung operasi salah satu kilangnya di wilayah selatan Kyushu bermula petang Khamis hingga syif pertama Jumaat, dengan keputusan bagi syif seterusnya masih belum dimuktamadkan.

Di Taiwan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini, namun kira-kira 200 penduduk di daerah Hualien dipindahkan selepas sebuah tasik sekatan di kawasan pergunungan mula dipenuhi air dengan cepat.

Tasik sekatan terbentuk apabila runtuhan batu atau tanah menyekat aliran sungai, sekali gus menahan air dan berisiko pecah secara tiba-tiba.

Tahun lalu, 19 orang terkorban di Hualien apabila sebuah tasik sekatan pecah ketika Taufan Super Ragasa, menyebabkan arus lumpur dan air deras menghanyutkan kediaman penduduk.

Hujan dijangka berterusan di Taiwan sekurang-kurangnya seminggu, namun intensitinya dijangka beransur reda.

Bagaimanapun, taburan hujan ini juga memberi manfaat kepada Taiwan yang bergantung kepada musim taufan untuk mengisi takungan air negara selepas musim kering.