Ops Soga XI: Polis tumpaskan 2 pusat operasi pertaruhan bola sepak Piala Dunia

GEORGETOWN: Polis menumpaskan dua pusat operasi disyaki menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak sempena Piala Dunia FIFA 2026, dalam dua serbuan di Gelugor dan Butterworth serta menahan sembilan individu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng, berkata serbuan berkenaan adalah sebahagian daripada Ops Soga XI bermula 11 Jun lalu hingga 19 Julai depan bagi membanteras kegiatan perjudian bola sepak di seluruh negeri ini.

“Dalam serbuan pertama pada 26 Jun lalu di sebuah unit kondominium di Gelugor, di sini, polis menahan empat individu membabitkan seorang wanita tempatan dan tiga lelaki warga asing berumur 29 hingga 44 tahun.

“Hasil siasatan mendapati sindiket itu menjadikan premis terbabit sebagai pusat operasi bagi menguruskan akaun pelanggan, menyelia transaksi dan mempromosikan pertaruhan bola sepak secara dalam talian menerusi laman sesawang 137.com,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Dalam serbuan itu, beliau berkata, polis turut merampas beberapa komputer, telefon bimbit dan pelbagai peralatan elektronik dipercayai digunakan untuk kegiatan berkenaan.PlayNextMute

Katanya, serbuan kedua pula dijalankan ke atas sebuah unit kondominium di Butterworth, kelmarin.

Dalam serbuan itu, Kwang Keng, polis berjaya menahan lima lelaki tempatan berusia 27 hingga 41 tahun.

Katanya, sindiket itu disyaki mengendalikan pertaruhan bola sepak Piala Dunia melalui laman sesawang Nova88 dengan menjadikan kediaman terbabit sebagai pusat operasi.

Beliau berkata, modus operandi sindiket itu ialah menggunakan premis kediaman sebagai calling centre untuk menguruskan akaun pelanggan, menerima dan menyelia pertaruhan bola sepak secara dalam talian, serta memberi khidmat sokongan kepada pelanggan dengan menggunakan komputer dan telefon yang disambungkan kepada platform perjudian.

“Dalam serbuan itu, kami merampas enam komputer, telefon bimbit pelbagai jenama, modem Internet, serta pelbagai peralatan komputer dipercayai digunakan dalam kegiatan pertaruhan terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman hingga 1 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(e) Akta Pertaruhan 1953 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kwang Keng memaklumkan sepanjang Ops Soga XI, setakat ini, Polis Pulau Pinang telah menjalankan 21 serbuan dan menahan 28 individu serta merampas wang tunai berjumlah RM8,935 bersama pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian.

“Polis Pulau Pinang akan terus mempergiat Ops Soga XI sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2026 dengan memberi tumpuan kepada pengesanan calling centre, ejen pertaruhan, penganjur serta individu terbabit dalam kegiatan perjudian sama ada secara fizikal atau dalam talian,” katanya.