MUAR – Barisan Nasional (BN) menyifatkan kenyataan Nga Kor Ming yang mahu meletakkan jawatan sekiranya BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Datuk Seri Mohd Najib Razak dibebaskan sebagai tidak mempunyai kaitan dengan pilihan raya negeri.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun mencabar hasrat Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Timbalan Pengerusi DAP itu jika beliau benar-benar mahu berbuat demikian.
“Alhamdulillah. Letaklah jawatan. Memang pun kita nak dia letak jawatan. Apa kena-mengena perihal negeri Johor dengan Datuk Seri Najib? Itu Kerajaan Persekutuan.
“Ini kerajaan negeri. Kalau BN menang di Johor, kita buat tubuh kerajaan negeri sahaja. Kerajaan negeri tak ada kena-mengena dengan hal-hal Persekutuan.
“Jadi janganlah cakap besar sangat. Saya tak mahu menyentuh orang, tetapi kalau dia dah mencabar-cabar kita, kalau dia nak letak jawatan, letaklah jawatan segera. Tak ada masalah bagi kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kempen PRN Johor bersama penduduk di DUN Simpang Jeram bersama calonnya, Datuk Azman Ismail di sini hari ini.
Terdahulu, dalam temu bual eksklusif bersama Oriental Daily, Kor Ming dilaporkan berkata beliau sanggup menjadi individu pertama meletakkan jawatan sekiranya Najib dibebaskan tanpa sebarang kesalahan.
Menurutnya, DAP juga tidak menolak kemungkinan menarik diri daripada Kerajaan Perpaduan sekiranya perkara itu berlaku kerana ia merupakan “garis merah” parti tersebut.
Kor Ming turut mendakwa UMNO Johor berulang kali menyuarakan hasrat supaya Najib dibebaskan lebih awal dengan mendakwa slogan “UMNO menang besar, Najib pulang ke rumah” merupakan agenda parti itu.
Mengulas sentimen yang cuba dimainkan Kor Ming itu, Mohamad yang juga Menteri Luar berkata, BN tidak mahu terlalu melayan perkara itu dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha kempen parti.
“Tak perlulah kita cakap sampai macam itu. Kami di BN ini kita tak pernah sentuh siapa-siapa sebaliknya mengatakan kepada pengundi Johor supaya berikan mandat semula kepada BN.
“(Supaya) rakyat Johor juga akan menikmati apa jua pakej rangsangan tambahan pula sekarang ini, Johor merupakan negeri yang terkehadapan menerima pelabur-pelabur daripada luar negara,” katanya. – MalaysiaGazette

