KUALA LUMPUR – Wanita yang mayatnya ditemukan dalam sebuah bagasi di rumah sewa di Taman Impian Indah, Kajang, pada Ahad lalu dipercayai meninggal dunia akibat tetakan di kepala.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner (ACP) Naazron Abdul Yusof, keputusan itu hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Kajang jam 6.20 petang, semalam.
“Proses bedas siasat turut mendapati tiada bahagian badan mangsa yang terpisah atau dipotong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, siasatan juga mendapati, rumah berkenaan telah disewakan kepada sepasang suami isteri warga asing sejak Februari lalu.
Bagaimanapun, sama ada mangsa merupakan pasangan menyewa rumah itu atau sebaliknya masih dalam siasatan, tambah Naazron.
Siasatan masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini atau kehilangan ahli keluarga mahupun pekerja diminta tampil membantu siasatan.
“Mereka boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Nur Ayuni Abd. Aziz di talian 016-2080717,” jelasnya.
Semalam MalaysiaGazette melaporkan, satu mayat perempuan ditemui di dalam bagasi di ruang tamu di sebuah rumah sewa di Taman Impian, Kajang, pada Ahad.
Naazron dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar jam 8.37 malam sebelum sepasukan anggota polis bersama pasukan forensik hadir ke lokasi untuk menjalankan pemeriksaan. – MalaysiaGazette

