China hukum mati bekas pegawai wilayah kerana rasuah

BEIJING: China hari ini melaksanakan hukuman mati ke atas bekas pegawai wilayah selepas disabitkan kesalahan berkaitan rasuah, kata mahkamah di wilayah utara Inner Mongolia, perkembangan terkini dalam kempen menyeluruh Beijing terhadap rasuah.

Mahkamah dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Mahkamah Rakyat Pertengahan Liga Hinggan di Wilayah Autonomi Inner Mongolia melaksanakan hukuman mati ke atas Li Jianping mengikut undang-undang dengan perkara itu disahkan Mahkamah Agung, pagi tadi.

Katanya, tindakan Jianping dianggap ‘sangat serius’, manakala ‘kesan sosialnya sangat buruk’.

Jianping yang juga bekas Setiausaha Jawatankuasa Kerja Parti Komunis di zon pembangunan ekonomi dan teknologi Hohhot pada 2022, dijatuhkan hukuman mati atas beberapa kesalahan, termasuk rasuah dan salah guna dana awam.

Jianping disabitkan kesalahan selepas pihak berkuasa mendapati dia menggunakan kedudukan sebagai penjawat awam untuk mencuri dana dan mencari faedah bagi kumpulan jenayah.

Hukuman itu disahkan awal tahun ini, walaupun Jianping mengemukakan rayuan.

Presiden Xi Jinping, menerajui kempen rasuah terhadap pegawai sejak mengambil alih kuasa lebih sedekad lalu, dengan pengkritik menyifatkannya turut berfungsi sebagai kaedah ‘membersihkan’ pesaing politik.

China mengklasifikasikan statistik hukuman mati sebagai rahsia negara, walaupun kumpulan hak asasi manusia termasuk Amnesty percaya ribuan orang dihukum mati, setiap tahun. – AFP