Buruh ladang dipenjara 3 tahun, 6 sebatan kerana kesalahan miliki senapang, peluru

GUA MUSANG: Seorang buruh ladang sawit dihukum penjara tiga tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan iaitu memiliki selaras senapang dan tujuh butir peluru, 27 Jun lalu.

Mohd Rosdi Paharudin, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Tertuduh didakwa memiliki selaras senapang tanpa kebenaran sah di sebuah rumah di Kampung Kuala Betis di sini, jam 5 petang, pada 27 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penaldi lebih berat) 1971 (Akta 37) yang memperuntukkan hukuman penjara selama 14 tahun dan juga disebat tidak kurang enam kali.

Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki tujuh butir peluru tanpa lesen sah di lokasi sama, jam 7 pagi pada hari sama.PauseNextMute

Bagi kesalahan ini, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Shahril Ramli, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Ahmad Firdaus Abdul Hamid.

Terdahulu, Muhammad Shahril memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran kerana kesalahan memiliki senapang secara menyalahi undang-undang dan senjata yang berbahaya.

Bagi kesalahan pertama tertuduh dihukum penjara tiga tahun dan enam sebatan, manakala pertuduhan kedua pula dihukum penjara dua tahun.

Nik Mohd Tarmizie memerintahkan Mohd Rosdi menjalani hukuman serentak bagi dua pertuduhan bermula dari tarikh ditangkap pada 27 Jun lalu.