CARACAS: Operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan di La Guaira, Venezuela, hampir dua minggu selepas dua gempa bumi kuat melanda kawasan pantai negara itu pada 24 Jun lalu.
Pasukan penyelamat dari Argentina bersama pihak berkuasa Venezuela dan negara jiran giat membersihkan runtuhan bangunan bagi mencari mangsa yang masih hilang.
Ketua pasukan bantuan kemanusiaan Argentina, Silvio Klein, berkata usaha kini memasuki fasa kritikal, dengan harapan masih ada mangsa yang dapat diselamatkan.
Pada masa sama, pasukan penyelamat turut menemui mayat mangsa bagi membolehkan keluarga memberikan penghormatan terakhir.
Menurutnya, tempoh antara hari ke-10 hingga hari ke-15 selepas bencana merupakan waktu paling sukar kerana keluarga mangsa masih menunggu khabar mengenai nasib insan tersayang.
Seorang lagi anggota pasukan penyelamat, Carlos Agostini, berkata beberapa bangunan mengalami kerosakan teruk pada struktur asas dan gegaran susulan boleh mengancam keselamatan petugas serta penduduk yang menjalankan pencarian menggunakan peralatan asas.
Klein turut menjelaskan tahap kemusnahan menjadi lebih buruk kerana banyak bangunan dibina di atas tanah berpasir berhampiran pantai.
Sehingga kini, angka korban meningkat kepada 3,685 orang, manakala hampir 18,000 penduduk masih kehilangan tempat tinggal selepas dua gempa bumi berukuran 7.2 dan 7.5 magnitud melanda dalam selang beberapa saat.

