SHAH ALAM: Seorang jurujual dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menetak seorang penunggang motosikal dalam kejadian di laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, bulan lalu.
Hakim ‘Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, Azmi Jantan, 43, mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah mengarahkan tertuduh menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh dia ditangkap, 11 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, lelaki berkenaan didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang lelaki berusia 45 tahun dengan menetaknya menggunakan pisau potong daging iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 14.6 laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan, Seksyen 13, kira-kira jam 8.19 pagi, 11 Jun lalu.PauseNextMute
Justeru, dia melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman pemenjaraan sehingga 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.
Menurut fakta kes, mangsa yang juga eksekutif sebuah syarikat mengalami kecederaan patah tulang bahu, tulang tangan, tulang jari dan pergelangan tangan kiri serta luka di kepala dan muka.
Timbalan Pendakwa Raya, Amir Saifullah Mohammad Sallehuddin memohon tertuduh dikenakan hukuman berat sebagai pengajaran serta faktor mangsa mengalami kecederaan kritikal di bahagian organ penting akibat serangan tertuduh.
“Senjata digunakan tertuduh adalah pisau pemotong daging yang boleh membawa maut. Nasib baik mangsa dalam kes ini tidak meninggal dunia.
“Mengambil kira faktor kepentingan awam yang mana kes ini berpunca dari perkara remeh iaitu membunyikan hon di lebuh raya dan perbuatan tertuduh boleh mencetuskan ketakutan kepada pengguna jalan raya lain.
“Mengambil kira pengajaran kepada masyarakat, pendakwaan memohon hukuman berat bagi membendung kes buli jalanan dan amukan melampau di jalan raya,” katanya.
Azmi yang tidak diwakili peguam kemudian memohon mahkamah mengurangkan hukuman dan turut memaklumkan dia tiada tanggungan serta tidak mengenali mangsa.

