Bangku kabin belakang trak FRU tiada tali pinggang keledar

KUALA LUMPUR – Laporan awal nahas membabitkan trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak baru-baru ini mendedahkan, jentera tersebut tidak dilengkapi sistem kekangan tali pinggan keledar di bangku bahagian belakang kabin.

Laporan yang diterbitkan Kementerian Pengangkutan hari ini menjelaskan, ketiadaan elemen keselamatan pasif itu dipercayai meningkatkan kecederaan serius terhadap penumpang di bahagian terbabit, ketika pelanggaran berlaku.

Laporan itu turut mendedahkan, sebahagian besar penumpang dipercayai tercampak ke bahagian hadapan kabin belakang, khususnya ke sisi hadapan kiri kabin, ketika impak berlaku.

Ini mengakibatkan pelbagai hentaman sekunder, termasuk pelanggaran antara penumpang serta dengan permukaan dalaman kabin sekali gus menyumbang kepada tahap kecederaan parah dalam kalangan penumpang.

“Mekanisma kecederaan ini turut diburukkan dengan kehadiran objek tidak diikat di dalam kabin yang berpotensi menjadi projektil sekunder semasa pelanggaran.

“Gabungan ketiadaan sistem kekangan dan kewujudan objek tidak diikat ini dipercayai menjadi faktor penyumbang utama kepada kadar kecederaan parah dan kematian yang tinggi dalam insiden ini,” kata laporan tersebut.

“Ia adalah risiko keselamatan ketara kepada pemandu dan penumpang kenderaan. Justeru, aspek ini disyorkan untuk diberi perhatian serius dan keutamaan bagi memastikan tahap keselamatan lebih tinggi bagi pengguna kenderaan jenis ini,” katanya.

Tambahnya, siasatan turut mendapati tiada petunjuk kewujudan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk hadapan, termasuk di bahagian pemandu dan penumpang hadapan trak FRU.

Laporan yang sama turut mendedahkan lori membawa muatan batu yang mengakibatkan nahas maut terbabit,  didapati gagal memenuhi keperluan pemasangan dan kefungsian sistem Sistem Kedudukan Sejagat (GPS).

Tindakan itu, katanya, tidak mematuhi garis panduan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang mewajibkan pemasangan GPS bagi semua kenderaan perdagangan berdaftar.

Tambah laporan itu, pihak syarikat pengendali lori terbabit juga mengesahkan sistem GPS tidak aktif dan Surat Tunjuk Sebab berasingan dikeluarkan pada 23 Mei lalu.

Pematuhan arahan itu selaras Perkara 11 Keperluan Tahap Perkhidmatan (KTP) dan Seksyen 57 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dengan pengecualian hanya diberi kepada bas sekolah beroperasi di bawah tiga daerah.

“Garis panduan berkaitan ditetapkan dalam Buku Panduan dan Kod Amalan Industri SPAD – Keselamatan Untuk Pengendali Berlesen Perkhidmatan Kenderaan Barangan, berkuat kuasa sejak 1 November 2013 (Kod 13 dan Kod 14).

“Antara kewajipan pengendali termasuk memastikan setiap kenderaan dilengkapi GPS berfungsi bagi pemantauan kelajuan dan lokasi, memantau serta mengambil tindakan segera ke atas pemandu yang memandu secara berbahaya atau melebihi had laju.

“Menyemak laporan GPS bagi setiap perjalanan, mengambil tindakan tatatertib dan/atau kaunseling ke atas pemandu melakukan kesalahan lalu lintas serta menyimpan rekodnya serta mencegah sebarang manipulasi atau pemalsuan data GPS,” katanya.

Pada 13 Mei lalu, trak FRU membawa 18 anggota dari Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.

Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Teluk Intan. Sembilan lagi cedera.

Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit. –MalaysiaGazette