MIRI: Sebuah rumah panjang 62 pintu di Rumah Panjang Changai Lama, Ulu Niah, dekat sini, musnah sepenuhnya dalam kebakaran malam tadi.
Bagaimanapun, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.26 petang itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa kerana rumah panjang berkenaan dilaporkan tidak lagi didiami penghuni.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 6.26 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah digerakkan ke lokasi yang terletak kira-kira 34 kilometer dari balai.
“Jentera pertama tiba pada jam 6.58 petang dan mendapati keseluruhan rumah panjang jenis tidak kekal yang mempunyai 62 pintu itu sudah terbakar sepenuhnya.
“Anggaran keluasan keseluruhan rumah panjang berkenaan adalah kira-kira 200 x 600 kaki persegi dengan tahap kemusnahan mencecah 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, komander operasi segera menjalankan penilaian awal (size-up) sebelum mengarahkan operasi pemadaman menggunakan beberapa aliran hos bagi menghalang api daripada terus merebak.
Katanya, satu aliran hos sepanjang kira-kira 700 kaki dengan dua pancutan digunakan bersama pam angkut GP 10/10 yang mendapatkan bekalan air daripada sumber terbuka di parit berhampiran untuk memadam bahagian hadapan serta sisi kiri rumah panjang.
“Pada masa sama, satu lagi aliran hos sepanjang 800 kaki dengan dua pancutan daripada pam jentera Scania digunakan bagi memadam kebakaran di bahagian belakang rumah panjang.
“Operasi turut dibantu anggota dan aset dari BBP Lopeng yang menggunakan satu aliran hos sepanjang 800 kaki dengan dua pancutan serta sistem relay pumping daripada jentera BBP Batu Niah bagi memastikan bekalan air mencukupi sepanjang operasi,” katanya.
Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 8.15 malam sebelum anggota menjalankan kerja-kerja overhaul bagi memastikan tiada lagi punca api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.
Katanya, operasi ditamatkan pada jam 12.39 tengah malam sebelum semua anggota dan aset kembali ke balai.
Selain anggota bomba, operasi itu turut mendapat bantuan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Batu Niah serta Sarawak Energy (SESCO) bagi membantu kawalan keselamatan di lokasi.
Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan pihak bomba.

