NEW YORK: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino berdepan laluan sukar untuk mempertahankan jawatannya selepas beberapa persatuan bola sepak kebangsaan menarik balik sokongan susulan cadangan kontroversi menjual pegangan ekuiti Piala Dunia kepada pelabur swasta.
Persatuan Bolasepak Serbia, Sweden dan Wales dilaporkan tidak lagi menyokong Infantino, sekali gus membuka ruang kepada beberapa tokoh bola sepak dunia untuk mencabar jawatan nombor satu FIFA bagi penggal 2027 hingga 2031.
Pemilihan presiden FIFA dijadual berlangsung di Maghribi pada 18 Mac depan.
1. Victor Montagliani (Presiden CONCACAF)
Presiden Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) dan ahli perniagaan Kanada, Victor Montagliani dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mencabar Infantino.
CONCACAF menolak cadangan FIFA untuk membawa masuk pelabur swasta ke dalam Piala Dunia, namun tidak bertindak sejauh UEFA yang menyeru boikot terhadap cadangan itu.
Piala Dunia 2026 yang berlangsung di Amerika Utara menjadi kejohanan pertama dianjurkan di rantau CONCACAF sejak 1994.
2. Aleksander Ceferin (Presiden UEFA)
Presiden Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dari Slovenia, Aleksander Ceferin muncul antara pengkritik paling lantang terhadap Infantino.
Hubungan UEFA dan FIFA semakin tegang selepas beberapa siri pertikaian termasuk isu penjualan pegangan ekuiti Piala Dunia.
Ceferin turut memboikot perlawanan akhir Piala Dunia bulan lalu sebagai tanda protes terhadap kepimpinan FIFA.
3. Sheikh Salman bin Ibrahim Al Khalifa (Presiden AFC)
Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dari Bahrain itu juga disebut-sebut sebagai calon berpotensi.
Beliau yang juga Naib Presiden Kanan Majlis FIFA sebelum ini antara individu yang menentang cadangan memperluaskan saiz Piala Dunia kepada 64 pasukan.
AFC turut mengkritik cadangan FIFA berkaitan pelabur swasta dengan menyifatkan ia mendedahkan kelemahan asas dalam proses perundingan dan membuat keputusan badan induk dunia itu.
4. Nasser Al-Khelaifi (Presiden Paris Saint-Germain)
Presiden Paris Saint-Germain (PSG) dari Qatar, Nasser Al-Khelaifi turut muncul sebagai calon yang semakin mendapat sokongan dalam kalangan pemimpin bola sepak Eropah.
Menurut laporan Politico minggu lalu, beberapa pegawai kanan bola sepak Eropah mula melihat beliau sebagai pencabar utama kepada Infantino.
5. Lise Klaveness (Presiden Persekutuan Bolasepak Norway)
Lise Klaveness menjadi antara figura wanita paling berpengaruh dalam bola sepak dunia ketika ini.
Presiden Persekutuan Bolasepak Norway (NFF) itu adalah antara pemimpin yang paling lantang menentang cadangan Infantino untuk menjual pegangan dalam Piala Dunia.
Sebelum ini, Norway turut mempertimbangkan untuk mengemukakan aduan etika kepada FIFA berhubung keputusan menarik balik penggantungan ke atas penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun pada Piala Dunia selepas campur tangan Presiden AS, Donald Trump.
Isu itu sekali lagi mencetuskan persoalan mengenai hubungan rapat antara Infantino dan pemimpin AS berkenaan. – REUTERS

