PASIR GUDANG – Dua kanak-kanak berusia 11 tahun yang dilaporkan hilang sejak petang semalam, dikhuatiri lemas di kawasan empangan berhampiran Jalan Murai 2, Taman Scientex, di sini.
Kehilangan kedua-dua mangsa disedari keluarga susulan penemuan sebuah basikal dan selipar milik mereka yang ditinggalkan berhampiran kawasan empangan berkenaan.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Gudang, Pegawai Bomba Kanan I Haizrul Rahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 10.36 malam.
Serentak itu, seramai empat anggota bersama-sama sebuah jentera Compact Fire Rescue Tender (CFRT) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lapan kilometer dari balai.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian pada pukul 10.49 malam, bapa mangsa memaklumkan kedua-dua kanak-kanak itu tidak pulang ke rumah sejak petang.
“Bapa mangsa khuatir anak-anak mereka telah lemas berikutan penemuan basikal dan selipar milik mangsa di tepi kawasan empangan tersebut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Menurut Haizrul, susulan maklumat berkenaan, PKO bertindak melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar kawasan ampangan terbabit secara serta-merta.
Sehingga kini, operasi SAR masih giat dijalankan di lokasi kejadian dan status kedua-dua mangsa masih belum dapat dipastikan. – MalaysiaGazette

