“Nasib baik tak jadi jenazah, kalau tidak terus dimandikan di situ” – Hakim tegur siak, wanita laku persetubuhan haram

MELAKA – “Kes ini berat. Tertuduh melakukan kesalahan ini di bilik pengurusan jenazah. Nasib baik tak jadi jenazah semasa melakukan persetubuhan secara haram, kalau tidak terus dimandikan di situ.

“Cuma bagi kes ini hanya untuk percubaan (zina) sahaja sebab tidak ada kenyataan atau saksi yang jelas. Ia datang daripada pengakuan tertuduh,”.

Demikian teguran Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Melaka, Mawardi Che Man sebelum menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau 18 bulan penjara terhadap bekas siak masjid yang juga seorang duda anak empat, Mohd Rafi Abu Samah, 48, dan wanita lapan anak berstatus isteri orang, Norhaslinda Hashim, 51.

Ia selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah melakukan persetubuhan haram berulang kali di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Kampung Bukit Piatu, di sini antara jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari sejak 1 Januari hingga April lalu.

Dalam tegurannya, Mawardi berkata, perbuatan berkenaan amat serius kerana berlaku di lokasi yang mempunyai fungsi khusus dalam pengurusan fardu kifayah dan merupakan tempat terakhir jenazah disucikan sebelum dikebumikan.

“Di sinilah tempat penyucian akhir orang yang mati. Tetapi apa yang berlaku di tempat kejadian ini mendatangkan dosa besar kerana persetubuhan haram dilakukan di tempat berkenaan.

“….kalau di masjid punca kesalahan yang besar sampai had zina boleh diambil, sesuatu yang menjijikkan. Siapa nak tengok reputasi masjid kita tercalar dan berlaku sebegini,” katanya.

Mawardi berkata, lebih membimbangkan, perbuatan itu bukan berlaku sekali sebaliknya dilakukan beberapa kali antara Januari hingga April 2026, berdasarkan fakta kes yang diakui kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun, katanya, pendakwaan hanya mengemukakan satu pertuduhan terhadap setiap tertuduh berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh.

“Lokasi berlaku dalam masjid. Siak pula yang menguruskan persiapan jenazah, manakala seorang lagi membersihkan masjid. Namun tempat yang sepatutnya menjadi ruang menjaga kesucian masjid menjadi tempat berlakunya kesalahan besar.

“Saya sedih dan ada juga rasa marah. Kamu dah zina, itu sudah ada dalam al-Quran. Tambahan pula kamu lakukan di tempat yang begitu mulia,” katanya.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa cuba melakukan persetubuhan haram dengan yang bukan suami dan isteri yang sah di sisi syarak.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 1 hingga 30 April 2026, antara jam 8 pagi hingga 12 tengah hari, di bilik pengurusan jenazah sebuah masjid di Kampung Bukit Piatu, dalam daerah Melaka Tengah.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 52 Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pada 4 Jun 2026 kira-kira jam 4.30 petang, sepasang lelaki dan wanita dibawa anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka ke Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan satu laporan polis.

Laporan itu pada awalnya mendakwa wujud unsur rogol terhadap wanita berkenaan.

Bagaimanapun, selepas siasatan dijalankan, polis mendapati terdapat unsur perbuatan dilakukan secara sukarela dan ia dipercayai berlaku berulang kali.

Kes dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Melaka, Wan Mahyuddin Wan Muhammad bersama Pendakwa Syarie, Radzwan Abdullah, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam syarie daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK)Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri.

Terdahulu, Wan Mahyuddin memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh dengan mengambil kira keseriusan kesalahan, lokasi kejadian serta kedudukan mereka sebagai petugas masjid.

Katanya, Mohd Rafi bukan sekadar bekerja sebagai siak, manakala Norhaslinda pula merupakan petugas pembersihan, sebaliknya kedua-duanya memegang amanah untuk membantu menjaga kesucian dan mengimarahkan masjid.

“Sepatutnya kedua-dua tertuduh menjadi contoh kepada masyarakat serta membantu mengimarahkan masjid. Sebaliknya, kepercayaan itu disalahgunakan dengan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan tuntutan syarak,” katanya.

Katanya, faktor lokasi juga wajar diberi perhatian serius kerana bilik berkenaan digunakan untuk pengurusan jenazah, termasuk proses memandikan dan mengkafankan jenazah sebagai sebahagian daripada tuntutan fardu kifayah.

Sementara itu, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri dalam rayuannya memohon mahkamah tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh.

Katanya, Mohd Rafi merupakan duda berusia 48 tahun yang mempunyai empat anak dan bekerja sebagai siak di Masjid Al-Ibadah dengan menerima pendapatan daripada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), tanpa pendapatan sampingan.

Norhaslinda pula yang ditemani suaminya dalam prosiding berkenaan, masih telah 29 tahun berkahwin dan mempunyai lapan anak selain bekerja sebagai pekerja restoran serta melakukan kerja pembersihan masjid bagi menambah pendapatan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Mawardi mengarahkan tertuduh didenda RM5,000 atau 18 bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette