3 dekad dampingi Ayob Khan, Zalena ibarat ‘span’ serap kecaman, fitnah terhadap suami

KUALA LUMPUR: Lebih tiga dekad mendampingi Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Puan Sri Zalena Mohd Ariffin memilih menjadi ‘benteng’ yang menyerap kecaman, kata-kata negatif serta fitnah terhadap suami supaya bekas Timbalan Ketua Polis Negara itu kekal fokus menjalankan tugas.

Zalena berkata, perjalanan hidup bersama Ayob Khan membuatkan beliau cukup mengenali peribadi, prinsip dan cara suaminya menjalankan tugas.

Lebih penting, katanya mereka juga pernah sama-sama berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus memahami tuntutan serta tekanan dalam kerjaya berkenaan, namun mempunyai persefahaman untuk tidak mencampuri urusan profesional antara satu sama lain.

“Kadang-kadang saya menjadi seperti ‘sponge’ (span). Banyak kecaman, kata-kata negatif dan fitnah terhadap Ayob Khan yang terpaksa saya dengar dan terima.

“Malah, ada juga bercakap buruk mengenai Tan Sri di hadapan saya, sedangkan individu yang mereka perkatakan itu suami saya.

“Sekali pun saya mendengar semua itu, saya tidak memberitahunya kepada beliau. Bagi saya, yang penting saya mahu dia terus fokus terhadap tugas dan tanggungjawabnya,” katanya ketika ditemui pada majlis makan tengah hari bersama Persatuan Wartawan Jenayah (CiJA) di sini, hari ini.

Menurut Zalena, Ayob Khan juga bukan seorang yang gemar membawa pulang segala tekanan dan masalah dihadapinya ketika menjalankan tugas.

Sebagai isteri, beliau bagaimanapun memahami cabaran perlu dilalui suami, termasuk ketika berdepan ancaman keselamatan sepanjang menjalankan tugas.

“Saya sentiasa risau tentang keselamatannya. Bukan sahaja dia, malah keselamatan keluarga juga.

“Memang ada ancaman, tetapi suami (Ayob Khan) sentiasa ambil langkah berjaga-jaga,” katanya.

Hari ini cukup bermakna buat pasangan berkenaan apabila Ayob Khan menerima Anugerah Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1448H/2026 bagi kategori Tokoh Wira Negara.

Jalani kemoterapi akibat kanser paru-paru

Meskipun sedang menjalani rawatan kanser paru-paru tahap tiga, Zalena tetap menghadirkan diri bagi memberikan sokongan moral kepada suaminya pada detik berkenaan.

Malah, beliau baru menjalani sesi kemoterapi ke-18 semalam dan terlebih dahulu mendapatkan kebenaran doktor untuk menghadiri majlis berkenaan.

“Semalam saya menjalani sesi kimoterapi ke-18. Saya bertanya kepada doktor sama ada boleh hadir ke majlis suami saya. Doktor kata boleh, asalkan saya memakai pelitup muka dan sentiasa menjaga kebersihan.

“Saya gagahkan diri kerana mahu memberikan sokongan moral kepada suami,” katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata pengiktirafan diterimanya bukan sekadar penghormatan peribadi, sebaliknya penghargaan yang cukup bermakna kepada PDRM.

Meskipun sudah menamatkan perkhidmatan dan tidak lagi menggalas amanah seperti sebelum ini, beliau berharap pengiktirafan itu menjadi teladan kepada seluruh pasukan untuk berkhidmat dengan penuh integriti dan dedikasi.

“Saya hanya dimaklumkan menerima anugerah ini empat hari lalu. Bagi saya ini bukan untuk saya sahaja tetapi PDRM.

“Terima kasih kepada pihak kerajaan kerana memilih saya untuk menerima pengiktirafan ini,” katanya.