Belanjawan 2027 akan pastikan ekonomi negara terus mampan

KOTA BHARU: Belanjawan 2027 yang akan diumumkan Oktober ini akan memastikan kemampanan ekonomi negara untuk terus berada dalam julat pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, walaupun unjuran rasmi pertumbuhan ekonomi masih dikekalkan dalam julat empat hingga lima peratus dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua berada di paras enam peratus.

“Ahamdulillah untuk suku kedua berada enam peratus tapi kita tak mengambil itu sebagai satu perkara yang bersifat lega dan kita terus memantau dengan membuat pertemuan bersama pelbagai pihak bukan saja industri, persatuan serta pihak individu.

“Bukan hanya satu sektor tapi pelbagai untuk kita memahami apa sebenarnya berlaku dan apa pandangan mereka kerana kita membuat dasar tapi mereka pemilik kepada perkara itu.

“Mereka lebih memahami sebab itu kita tingkatkan komunikasi dalam mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang mana kita jemput wakil-wakil industri untuk memberi pandangan kepada pembuat dasar pada peringkat tertinggi,” katanya ketika sidang media, di sini, malam tadi.PlayNextMute

Mengulas lanjut, beliau berkata, yang paling penting adalah untuk melihat Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi tempoh lima tahun di bawah Belanjawan itu.

“Belanjawan adalah ‘short term’ tapi yang kita nak tengok adalah RMK yang berada di bawah Kementerian Ekonomi untuk lima tahun, apa saja yang berlaku dalam ‘short term’ ini kita akan uruskan melalui Belanjawan.

“Sudah pasti Belanjawan ini ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana nak melihat bagaimana kerajaan melakukan pelbagai inisiatif termasuk membendung kesan krisis global. Yang penting kita nak resilient (mampu bangkit semula),” katanya.

Terdahulu beliau hadir dalam Malam Mesra Kontraktor sempena mesyuarat agung tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Kelantan kali ke-49 malam tadi.