Aaron-Wooi Yik kembali disatukan selepas Sukan Asia – Chong Wei

KUALA LUMPUR: Gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik kembali disatukan selepas Sukan Asia Aichi-Nagoya, dengan juara dunia 2022 itu memilih untuk meneruskan perjuangan bersama sehingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28).

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Prestasi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Lee Chong Wei, selepas beliau mengadakan perbincangan bersama Aaron, Wooi Yik dan barisan kejurulatihan semalam.

Chong Wei berkata, hasrat untuk kembali bergandingan itu datang daripada kedua-dua pemain selepas mereka melalui pengalaman dipisahkan sebelum ini, selain kembali menemui rentak terbaik ketika melangkah ke final Kejohanan Dunia 2026 di New Delhi, India.

“Sekarang mereka rasa selepas Kejohanan Dunia, mereka kembali serasi dan mempunyai matlamat yang sama untuk ke Olimpik 2028.

“Jadi kami bincang dan saya maklumkan kepada Rexy (Mainaky), selepas Sukan Asia nanti mereka akan kembali bergandingan sehingga 2028,” katanya pada Kejohanan Piala Lee Chong Wei 2026 di Stadium Juara, hari ini.PauseNextMute

Sebelum ini, Aaron-Wooi Yik dipisahkan sementara selepas barisan kejurulatihan melakukan rombakan gandingan dengan Aaron digandingkan bersama Tee Kai Wun, manakala Wooi Yik dengan Man Wei Chong.

Bagaimanapun, pasangan itu membuktikan keserasian mereka masih berbisa apabila menewaskan beregu nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae di separuh akhir Kejohanan Dunia sebelum muncul naib juara.

Dalam perbincangan bersama Aaron-Wooi Yik, Chong Wei berkata beliau meminta kedua-dua pemain mengetepikan segala perkara yang berlaku sebelum ini dan memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki prestasi.

Namun, beliau turut mengingatkan kedua-duanya supaya komited dengan keputusan kembali bergandingan dan tidak mengubah pasangan sekiranya berdepan masalah di pertengahan jalan.