KUALA LUMPUR: Datuk Karim Ibrahim kembali diangkat sebagai Presiden Olahraga Malaysia (MA) bagi penggal 2025-2028 selepas memenangi pemilihan orang nombor satu badan induk itu pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), hari ini.
Karim yang pernah bergelar presiden persatuan itu pada penggal 2014-2019 menang selepas memperoleh 25 undi dengan menewaskan pencabarnya, Datuk Wira Mark Ling Lee Meng yang meraih 15 undi.
Pertandingan bagi jawatan presiden sepatutnya berlangsung secara tiga penjuru tetapi penyandang presiden, Datuk Seri Shahidan Kassim membuat keputusan menarik diri di saat akhir.
Karim dalam ucapan selepas pelantikannya bertekad untuk mengangkat semula imej olahraga negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
“Terima kasih atas kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk kembali menerajui Olahraga Malaysia bagi penggal 2025 hingga 2028,” kata Karim. “Saya juga berharap segala perkara yang berlaku ketika kempen ditepikan demi masa depan olahraga yang lebih gemilang.
“Kita harus bersatu dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk membawa olahraga Malaysia ke tahap lebih membanggakan.”
Seramai 39 perwakilan menyertai pemilihan yang berlangsung serentak dengan AGM selama empat jam.
Barisan kepimpinan MA bagi penggal 2025-2028
Presiden : Datuk Karim Ibrahim
Timbalan Presiden: Datuk Wan Hisham Wan Salleh
Naib Presiden: Datuk R Annamalai, N Padmanathan Nagappan, Prof Dr Mohamed Rusli Abdullah, Josephine Kang Teok Koon

