Israel gesa AS sertai peperangan ke atas Iran

TEHRAN – Israel menggesa pentadbiran Presiden Donald Trump menyertai peperangan negara itu ke atas Iran untuk menyingkirkan program nuklear Tehran.

Gesaan sejak 24 jam lalu itu dilakukan kerana Israel kekurangan keupayaan ketenteraan seperti pesawat pengebom untuk memusnahkan kemudahan pengayaan uranium Fordow milik Iran.

Walaupun digesa berulang kali oleh rejim Zionis, setakat ini pentadbiran Trump enggan terlibat secara langsung, kekal dengan pendirian Iran tidak mempunyai alasan yang sah untuk bertindak balas terhadap sasaran AS untuk operasi yang diketuai Israel.

Para pegawai memberi amaran sebarang serangan yang dilakukan AS ke atas wilayah Iran akan mengheret negara itu ke kancah peperangan berskala besar.

Seorang pegawai Israel memberitahu Axios bahawa Trump mungkin mencadangkan kesanggupan untuk menyertai misi itu semasa Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membuat panggilan kepadanya, baru-baru ini.

Bagaimanapun, seorang pegawai White House menafikan dakwaan tersebut dan seorang lagi pegawai mengesahkan Israel mendesak penyertaan AS namun berkata, pentadbiran Trump ketika ini tidak mempertimbangkannya.

Seorang pegawai AS menegaskan bahawa penyelesaian secara aman masih boleh dicapai jika Iran sanggup terlibat. – Agensi