Beri ruang pada Tun M, lebih baik dia di IJN sementara waktu – Mukhriz

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mukhriz Mahathir meminta orang ramai memberi ruang kepada bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk melalui tempoh dukacita selepas kehilangan isteri, Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Mukhriz berkata, pemergian wanita yang menjadi teman hidup bapanya selama lebih 70 tahun itu bukan sesuatu yang mudah untuk diterima.

Justeru Dr Mahathir memerlukan masa untuk melalui dan menerima kehilangan berkenaan.

Katanya, adalah lebih baik untuk Dr Mahathir berada di Institut Jantung Negara (IJN) buat sementara waktu kerana ia dilihat lebih sesuai berbanding berada di kediaman keluarga yang sarat dengan kenangan bersama allahyarhamah.

“Kalau duduk di rumah pun, setiap benda yang beliau pandang akan mengingatkan beliau kepada arwah bonda. Jadi mungkin lebih baik beliau berada di IJN dahulu sehingga betul-betul pulih,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara di sini malam ini.

Mengulas perkembangan terkini, Mukhriz berkata, bapanya turut berkesempatan menziarahi pusara allahyarhamah hari ini yang disifatkannya satu sebagai perkembangan baik.

Bagaimanapun, beliau meminta semua pihak supaya tidak terlalu mendesak bapanya untuk berkongsi keadaan emosi atau perasaannya ketika ini.

“Bayangkan jika kita sendiri berada dalam situasi yang sama. Sudah tentu kita juga akan merasai kehilangan yang amat besar. Jadi berilah beliau sedikit ruang dan masa untuk pulih dengan sendiri,” katanya.

Allahyarhamah Dr Siti Hasmah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun di IJN pada 28 September lalu selepas lebih 70 tahun mendirikan rumah tangga bersama Dr Mahathir. – MalaysiaGazette