KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) digesa tidak ‘play victim’ atau cuba menggambarkan pihaknya sebagai mangsa dengan memainkan naratif tidak bersandarkan bukti serta fakta dalam polemik krisis dalaman gabungan itu.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata PN juga dinasihatkan supaya tidak bertindak seolah-olah pihak lain bacul atau sedang menzalimi gabungan itu tanpa alasan,
Katanya, PN perlu mengemukakan penjelasan mengikut fakta dan undang-undang.
“Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan perlu menjawab persoalan, sama ada benar atau tidak terdapat aduan BERSATU terhadap pengurusan gabungan itu.
“Tak perlu ‘spin’ (putar belit), menafikan satu persatu aduan BERSATU seperti dibangkitkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) kepada Takiyuddin dengan bukti.
“Jika benar PAS selaku pentadbir PN tidak melakukan sebarang pelanggaran Perlembagaan PN, kemukakan sahaja penjelasan, minit mesyuarat, surat-menyurat dan dokumen berkaitan untuk menafikan setiap dakwaan terbabit.
“Bukannya susah. Persoalannya, Takiyuddin ada atau tidak, bukti dan dokumen menunjukkan PAS, selaku Pengerusi dan pentadbir PN bertindak mengikut Perlembagaan PN dan undang-undang serta tidak melakukan sebarang kesalahan?
“Jika ada, jawablah RoS tanpa banyak alasan. Barulah berani,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Takiyuddin, menyifatkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai bacul selepas dikatakan tidak berani mengemukakan aduan secara jelas dan rasmi kepada PN.
Terdahulu, Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS turut mengibaratkan tindakan berkenaan sebagai ‘lempar batu, sembunyi tangan’, selain menjelaskan PN memfailkan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar notis dikeluarkan RoS terhadap gabungan itu.
Pada 23 September lalu, RoS menggantung semua kegiatan PN mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966.
Tindakan itu susulan notis mengikut subseksyen 13(2) Akta berkenaan bertarikh 22 September, yang memberi tempoh munasabah kepada PN untuk memberikan penjelasan berhubung aduan yang dilaporkan BERSATU.
Dalam pada itu, Tun Faisal Ismail menyifatkan, label bacul lebih tepat ditujukan kepada pihak pentadbir PN yang tidak berani memanggil mesyuarat dan berdepan secara terbuka dengan parti dalam gabungannya.
Beliau berkata, label itu juga lebih sesuai digunakan kepada pihak menyalahgunakan kuasa pentadbiran dan melanggar perlembagaan untuk menafikan hak BERSATU menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN dan Mesyuarat Luar Biasa Majlis Tertinggi PN (MT PN).
“Jangan bercakap soal keberanian jika Pengerusi, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan pentadbir PN tidak berani berdepan parti anggota sendiri. Ini bacul yang sebenar.
“Takiyuddin perlu mengakui hakikat BERSATU tidak pernah takut untuk berulang kali menegur pelanggaran Perlembagaan PN dan keputusan MT PN dilakukan PAS selaku Pengerusi dan pentadbir PN.
“Selepas Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menuduh dan memfitnah BERSATU, BERSATU tanpa rasa takut sudah menjawab tuduhan dan fitnah berkenaan dengan fakta,” katanya.
Mengulas lanjut, Tun Faisal ismail berkata, selain secara tertutup, BERSATU sudah menyatakan secara terbuka dan mendedahkan aduan kepada RoS berkaitan pelanggaran Perlembagaan PN, keputusan MT PN dan penafian hak BERSATU.
“Tidak perlu takut jika aduan BERSATU mempunyai asas. Kenapa timbul aduan?
“(Ini) kerana PAS, selaku Pengerusi dan pentadbir PN, berulang kali melanggar Perlembagaan PN, menyalahgunakan kuasa, membelakangkan PN, tidak melaksanakan keputusan
Mesyuarat MT PN,
“Pas juga melanggar dan mem’veto’ keputusan MT PN, menindas dan menafikan hak BERSATU sebagai anggota PN.
“Semua ini dinyatakan secara terbuka tanpa berselindung di media massa oleh BERSATU,” katanya.

