BATU PAHAT – Keadaan jerebu di daerah ini mencapai tahap sangat tidak sihat selepas stesen pemantauan di sini mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang tinggi sehingga semua jenis sekolah diarah ditutup berkuat kuasa hari ini.
Bacaan IPU terkini di daerah ini sehingga pukul 11 pagi tadi ialah 187, sedikit menurun berbanding 191 yang direkodkan pada pukul 8 pagi.
Bacaan tertinggi setakat ini ialah 208 yang dicatatkan pada pukul 9 malam tadi.
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat.
Tinjauan Malaysia Gazette di sekitar kawasan Parit Raja di sini mendapati walaupun bacaan sudah turun sedikit tetapi keadaan masih berjerebu dengan jarak penglihatan yang terhad.
Peniaga dan penduduk setempat, Siti Hanisa Ahmad, 32, berkata, keadaan jerebu sudah melanda sejak hampir sebulan lalu, namun bertambah buruk sejak semalam.

“Jerebu ini sebenarnya sudah lama iaitu hampir sebulan, tetapi kali ini terutama semalam, bacaannya dah makin tinggi.
“Untuk Batu Pahat, sudah banyak sekolah yang tutup. Saya lihat keadaan sudah mula teruk,” katanya ketika ditemui pemberita di pekan Parit Raja, hari ini.
Sebanyak 335 institusi pendidikan di seluruh daerah ini diarahkan tutup mulai hari ini susulan bacaan IPU mencecah 203 pada pukul 8 malam tadi.
Jumlah berkenaan merangkumi 176 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), 105 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ), sebuah Sekolah Rendah Agama Bersepadu (SRAB) dan 53 Institusi Pengajian Islam Swasta.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Batu Pahat, Kamalludin Jamal berkata, pihak sekolah perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sekiranya diarahkan Kementerian Pendidikan (KPM).
Siti Hanisa berkata, perkembangan jerebu memberi kesan terhadap penduduk, khususnya ibu bapa yang perlu bekerja apabila anak-anak terpaksa berada di rumah berikutan penutupan sekolah.
Walaupun terdapat laporan bahawa keadaan jerebu berpunca daripada pencemaran rentas sempadan, aktiviti pembakaran terbuka di kawasan setempat juga perlu dipantau, katanya.
Nohaliza Seith Muhammad, 24, pula berkata, keadaan jerebu sudah berlarutan lebih sebulan namun semakin teruk sejak beberapa hari kebelakangan ini.
“Kalau betul-betul, sudah sebulan lebih, cuma sekarang ini makin teruk. Dalam beberapa hari ini memang makin teruk dan hari ini sekolah pun sudah mula tutup,” katanya.

Penghantar makanan, Zulfakar Indera berkata, keadaan jerebu mula dirasainya sejak dua hingga tiga minggu lalu dan semakin buruk walaupun hujan berlaku sebelum ini.
“Dah mula saya rasa dua tiga minggu juga, tapi makin lama makin teruk pula. Sebelum ini ada hujan dan orang kata kalau hujan jerebu akan kurang, tetapi saya tengok makin teruk,” katanya. – MalaysiaGazette

