KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Myanmar ditahan disyaki terlibat dalam kejadian kes bunuh rakan senegaranya di Taman Maluri Cheras semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, suspek utama berusia 30-an itu ditangkap di sebuah premis sekitar Taman Maluri sekitar jam 12 tengah hari.
“Mangsa warga Myanmar berusia awal 20-an disahkan meninggal dunia pukul 10 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) akibat kecederaan parah di bahagian perut.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah menahan suspek.
“Pasukan turut merampas sebilah gunting disyaki digunakan sebagai senjata dalam kejadian itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, semakan mendapati, suspek tidak bekerja dan tidak mempunyai rekod lampau. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Permohonan reman terhadap suspek akan dikemukakan pada hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut diteruskan termasuk proses bedah siasat di Pusat Forensik HCTM. – MalaysiaGazette

