Polis nafi anggotanya ditikam Orang Asli di Tasek Bera

BERA – Polis menafikan anggotanya cedera ditikam oleh Orang Asli ketika menjalankan tugas pemantauan keselamatan di sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) Ramsar, Tasek Bera di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir menegaskan, ia merupakan berita dan dakwaan tidak benar serta tidak bertanggungjawab.

Terdahulu, tular perkongsian di media sosial satu klip video  berdurasi satu minit dimuatnaik seorang individu mendakwa terdapat Orang Asli membuat kekacauan dan menyerang anggota polis sehingga berlaku pertumpahan darah di lokasi terbabit.

Individu itu mendakwa Orang Asli berkenaan menggunakan senjata tajam iaitu pisau dan mencucuk anggota polis menyebabkan anggota itu menerima rawatan di hospital.

“Penyebaran kandungan sebegini bukan sahaja berpotensi mendatangkan kegusaran awam bahkan boleh mencetuskan insiden keselamatan yang lebih besar serta menjadi tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Zulkiflee mengesahkan telah menerima beberapa laporan polis berkaitan isu tular berkenaan termasuk daripada luar daerah Bera.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana melakukan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai dinasihat agar tidak menyebarka sebarang kandungan yang tidak benar atau belum disahkan, khususnya kandungan berpotensi mencetus salah faham, kebencian serta persepsi negatif terhadap mana-mana individu atau komuniti,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette