RIYADH, Arab Saudi – Lapangan Terbang Antarabangsa Riyadh sekali lagi menjadi sasaran serangan Houthi pada Ahad, sehari selepas serangan yang didakwa dilakukan kumpulan dari Yaman yang mengorbankan sekurang-kurangnya 12 orang.
Serangan itu memaksa pihak berkuasa menggantung operasi lapangan terbang berkenaan.
Serangan pada Sabtu itu merupakan serangan paling dahsyat di bumi Arab Saudi dalam tempoh lebih sedekad, sekali gus menandakan peningkatan ketara konflik perang di Yaman.
Selama ini, Riyadh memberikan sokongan ketenteraan kepada Kerajaan Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa bagi menentang Houthi.
Kumpulan yang disokong Iran itu pada Ahad mendakwa melancarkan beberapa serangan dalam tempoh 24 jam lalu, termasuk terhadap lapangan terbang berkenaan, selain mengancam untuk terus menyasarkan hab pengangkutan di Arab Saudi yang disifatkannya sebagai “medan operasi pasukan kami”.
Beberapa jam kemudian, gabungan tentera pimpinan Arab Saudi yang memerangi kumpulan itu melaporkan sebuah peluru menghentam Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid, sehingga mencetuskan kebakaran. Sistem pertahanan udara turut memintas sebuah peluru berpandu berhampiran lokasi berkenaan.
Serangan terbaharu di lapangan terbang itu mengorbankan seorang penduduk warga Pakistan dan mencederakan 11 orang lain, menurut pihak berkuasa penerbangan awam Arab Saudi.
Pihak berkuasa itu memaklumkan di platform X bahawa mangsa yang cedera “segera dipindahkan ke beberapa hospital untuk menerima rawatan perubatan yang diperlukan”.
“Serangan itu turut menyebabkan kerosakan harta benda, dengan tahap kerosakan masih dalam penilaian,” menurut kenyataan itu.
Laman penjejakan penerbangan Flightradar24 memaklumkan di X bahawa penutupan lapangan terbang berkenaan dilanjutkan selama 24 jam sehingga 9 malam GMT pada Isnin.
Pihak berkuasa penerbangan awam juga melaporkan satu lagi serangan terhadap Lapangan Terbang Dammam di bahagian timur negara itu, yang turut didakwa menjadi sasaran Houthi, sehari selepas gabungan tentera Arab Saudi melaporkan sebuah peluru jatuh berhampiran lokasi berkenaan.
Tidak lama kemudian, gabungan itu memaklumkan pihaknya menembak jatuh sebuah dron, juga di kawasan timur negara berkenaan.
Houthi meningkatkan serangan terhadap Lapangan Terbang Riyadh, yang turut menyaksikan tiga orang terbunuh pada Khamis, selain menyasarkan kemudahan minyak Arab Saudi dan kapal tangki di Laut Merah.
Walaupun Arab Saudi membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk ketenteraannya, serangan Houthi masih berjaya menembusi sistem pertahanan negara itu.
“Pertahanan udara Arab Saudi berjaya memintas beberapa serangan peluru berpandu dan dron Houthi, tetapi Arab Saudi begitu luas sehingga mustahil untuk mereka mempertahankan seluruh negara secara konsisten,” kata penganalisis keselamatan Universiti Ottawa, Thomas Juneau.
Gabungan tentera yang menentang Houthi menyifatkan serangan pada Sabtu sebagai “jenayah perang sepenuhnya” dan berikrar untuk “memberikan tindak balas tegas”.
Media Houthi melaporkan dua serangan Arab Saudi di wilayah pentadbiran Sanaa yang dikuasai kumpulan itu di Yaman pada Ahad.
Pihak berkuasa penerbangan awam memaklumkan empat warga Arab Saudi, dua warga Bangladesh serta masing-masing seorang warga Amerika Syarikat, Mesir, Jordan, Syria, Palestin dan Sudan terbunuh dalam serangan berkenaan, manakala 309 orang cedera.
Kedutaan India di Arab Saudi turut memaklumkan seorang warganya meninggal dunia pada Ahad selepas cedera dalam serangan sehari sebelumnya.
Operasi digantung
Sumber penerbangan berkata, peralatan radar dan komunikasi lapangan terbang mengalami kerosakan, manakala keadaan landasan perlu dinilai.
Saksi yang menyaksikan serangan pada Sabtu menggambarkan keadaan kelam-kabut selepas kejadian itu.
“Orang ramai yang berada di Terminal 3 mula berlari ke arah kami,” kata seorang penduduk Riyadh berusia 32 tahun kepada AFP.
“Ada yang kehilangan tangan atau lengan. Orang ramai berlari sambil membawa mangsa yang cedera dan berlumuran darah.”
Serangan itu mendorong pihak berkuasa kesihatan mengaktifkan panggilan tugas kecemasan secara besar-besaran yang jarang dilakukan terhadap doktor, menurut sumber perubatan.
Kedutaan AS, Kanada, Jerman dan Sepanyol di Arab Saudi telah memberi amaran kepada rakyat masing-masing supaya mengelakkan Lapangan Terbang Riyadh.
Sementara itu, Australia pada Ahad menggesa rakyatnya supaya terus berada di dalam bangunan dan berlindung di tempat masing-masing. – MalaysiaGazette

