Lelaki beralamat di KL maut terjatuh dari parkir atas pusat beli-belah

GEORGE TOWN – Seorang lelaki warga tempatan berusia 47 tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari kawasan parkir tingkat atas sebuah pusat beli-belah di Lebuh Teck Soon di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.10 malam, polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dikesan pada tubuh mangsa dan di lokasi kejadian.

“Mangsa yang beralamat di Kuala Lumpur itu dilihat terjatuh dari kawasan parkir tingkat atas pusat beli-belah berkenaan oleh seorang saksi awam.

“Satu laporan mati mengejut (LMM) dibuka bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan berhubung kejadian itu,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu tular beberapa keping gambar berhubung kejadian di media sosial. – MalaysiaGazette