Pelajar maut dalam nahas ke sekolah

MELAKA – Seorang pelajar maut dalam nahas motosikal di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gajah Berang di sini  semalam.

Dalam kejadian pukul 4.48 petang itu, mangsa, Tai Yong Cheng, 18, pelajar SMK Notre Dame, Banda Hilir meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka akibat cedera parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Bandar Hilir ke sekolah.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pelajar berkenaan telah memotong sebelah kiri sebuah kereta di hadapannya yang memberi lampu isyarat belok ke kiri untuk masuk ke SMK Gajah Berang.

“Akibatnya, motosikal mangsa merempuh kereta berkenaan yang dipandu pelajar lelaki berusia 18 tahun mengakibatkan mangsa cedera parah di kepala sebelum meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka kira-kira pukul 6.05 petang semalam,” katanya.

Tambah Christopher, kenderaan terlibat
telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) bagi pemeriksaan kerosakan. – MalaysiaGazette