Polis ambil kucing jadi mangsa lelaki tidak senonoh

Kucing dipercayai menjadi mangsa perbuatan tidak senonoh diselamatkan pihak berkuasa malam tadi. – Foto NSTP

PASIR PUTEH: Sepasukan anggota polis bersama pencinta haiwan malam tadi mengambil beberapa kucing dari kediaman keluarga suspek yang videonya tular melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap binatang itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Saari Yaacob berkata, tindakan itu bagi menjamin keselamatan haiwan berkenaan susulan suspek ditahan pada jam 10 pagi semalam.

Kucing yang disyaki terbabit dalam perbuatan itu pula sudah diambil dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk pemeriksaan lanjut.

“Polis juga masih menyiasat status suspek yang didakwa mempunyai masalah mental. Buat masa ini kami belum dapat pengesahan daripada pihak doktor dan kad perubatannya.

“Untuk menyelamatkan kucing daripada gangguan, kami ambil tindakan pindahkan kucing-kucing ini ke pusat penjagaan,” katanya ketika ditemui di Selinsing, di sini, malam tadi.

Terdahulu, seorang lelaki berusia 49 tahun ditahan selepas tular video dia melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap seekor kucing dalam video berdurasi 56 saat yang menimbulkan kemarahan pencinta haiwan dan mengganggu emosi awam.

Saari dalam pada itu menasihatkan orang ramai untuk tidak menyebarkan video membabitkan lelaki itu dengan kucing berkenaan.

Pesalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda maksimum RM500,000 dan penjara dua tahun.

Sementara itu, seorang pencinta haiwan, Nur Izyan Syahida Rosli berkata, mereka mengambil dua kucing dari rumah suspek untuk dipelihara di bawah Kelab Pencinta Haiwan Pewaris Kelantan.

Pihaknya juga bersedia mengambil kucing yang menjadi mangsa pelakuan seksual suspek untuk dijadikan kucing angkat.

“Kami bersedia mengambil kucing berkenaan sekiranya dibenarkan polis selepas siasatan selesai dijalankan,” katanya.

ASTRO AWANI