KUALA LUMPUR: Bank Muamalat Malaysia Bhd (Bank Muamalat) melancarkan Kad Kredit-i Awwal yang menawarkan akses kepada pembiayaan lebih telus, mampu milik dan berhemah berlandaskan prinsip Syariah.
Kad Kredit-i Awwal diperkenalkan dengan tumpuan kepada pembiayaan bertanggungjawab, selaras dengan namanya yang membawa maksud ‘permulaan’ atau ‘langkah pertama’, bagi menawarkan pendekatan pembiayaan yang lebih berhemah kepada pelanggan.
Antara ciri utama kad berkenaan ialah kadar keuntungan efektif 14 peratus setahun, tanpa yuran tahunan, selain menggunakan konsep keuntungan tidak berganda.
Pelanggan turut menikmati perlindungan takaful percuma bagi baki tertunggak sebagai manfaat promosi sempena pelancaran kad itu, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Datuk Khairul Kamarudin, berkata pelancaran Kad Kredit-i Awwal mencerminkan komitmen bank itu untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang lebih mudah diakses, telus dan bertanggungjawab kepada masyarakat.PauseNextMute
Beliau berkata, kad berkenaan dibangunkan dengan mengambil kira keperluan pelanggan untuk mengurus perbelanjaan secara lebih bijak, selain memastikan kemudahan kredit digunakan secara bertanggungjawab.
“Kad Kredit-i Awwal dibangunkan dengan mengambil kira keperluan pelanggan untuk mengurus perbelanjaan dengan lebih bijak, di samping memastikan kemudahan kredit digunakan secara bertanggungjawab. Ia selari dengan aspirasi kami untuk menyediakan penyelesaian kewangan yang memberi nilai sebenar dan menyokong kesejahteraan kewangan pelanggan,” katanya.
Pelancaran kad kredit Islam itu disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, sempena Forum Kewangan Islam Kuala Lumpur (KLIFF) ke-21, yang menjadi platform antarabangsa bagi membincangkan kerjasama strategik dalam industri kewangan Islam.
KLIFF ke-21 menghimpunkan perbincangan berkaitan usaha memacu pasaran modal, perbankan, takaful dan teknologi kewangan (fintech) berlandaskan Syariah.
Menurut Bank Muamalat, pelancaran itu turut memperkukuh aspirasi institusi berkenaan untuk merealisasikan slogan ‘Kehidupan Lebih Baik, Bersama’ menerusi penyelesaian kewangan Islam yang inklusif, bertanggungjawab dan memenuhi keperluan semasa masyarakat.
Orang ramai boleh memohon Kad Kredit-i Awwal mulai hari ini menerusi laman sesawang rasmi Bank Muamalat atau di mana-mana cawangannya.

