PRN Melaka: BN-PAS capai persefahaman, PH-BERSATU bagaimana?

AYER KEROH: Teka-teki hala tuju kerjasama politik Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akhirnya terjawab apabila rundingan persefahaman dengan PAS dimuktamadkan, sekali gus membuka lembaran baharu persaingan politik negeri itu.

BN akan mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, manakala PAS bersama rakan sekutunya akan bertanding di tujuh kerusi.

Ia diumumkan Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

Keputusan itu memuktamadkan pembahagian kerusi selepas beberapa minggu rundingan dan spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama BN dengan parti politik lain.

BN dijadual mengumumkan senarai calon pada 24 Oktober ini di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, manakala PAS dijangka berbuat demikian minggu depan. Perkembangan itu memberi ruang kepada kedua-dua pihak memperkemas persiapan jentera pilihan raya.PlayNextMute

Pembahagian kerusi turut memperlihatkan pendirian BN mempertahan kerusi dimenanginya pada PRN 2021, apabila memperoleh 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

Pada pilihan raya itu, Pakatan Harapan (PH) memenangi lima kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh dua kerusi.

Rundingan pembahagian kerusi itu juga menunjukkan ia tertumpu kepada kerusi tidak dimenangi BN pada pilihan raya lalu.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, sebelum ini menegaskan 21 kerusi berkenaan menjadi garis sempadan dalam sebarang rundingan politik.

Sebelum keputusan itu dimuktamadkan, BN beberapa kali menyatakan keterbukaan mengadakan rundingan dengan parti lain, termasuk PAS dan parti di luar gabungan berkenaan.

Ahmad Zahid, yang juga Timbalan Perdana Menteri, pada Ogos lalu berkata, pertukaran kerusi boleh dipertimbang sekiranya seimbang serta menghormati kerusi dimenangi setiap parti.

September lalu, Ab Rauf berkata, BN akan menggunakan formula BN Plus, dengan rundingan bersama parti lain hanya digerakkan selepas pembubaran DUN dan mendapat persetujuan kepemimpinan.

Menjelang pertengahan Oktober, laporan rundingan BN dengan PN mula mencetuskan spekulasi apabila beberapa kerusi dikatakan sedang diperhalusi untuk diberikan kepada parti rakan.

Antaranya, pembahagian kerusi kepada PAS dan parti lain dalam gabungan berkenaan, selain persoalan penggunaan logo dalam pilihan raya.

Pada masa sama, perkembangan berkaitan PN dibatalkan turut menambah dimensi baharu kepada landskap politik pembangkang menjelang PRN Melaka.

Rundingan dengan parti aspirasi sama

Namun, persoalan besar yang belum terjawab adalah sama ada Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU mampu mencapai kesepakatan bagi membentuk kerjasama PH Plus.

Sebelum ini, Pengerusi PH Melaka, Adly Zahari, mengesahkan rundingan dengan parti mempunyai aspirasi sama, termasuk BERSATU, sedang dilaksanakan susulan ketetapan Majlis Presiden PH.

Beliau bagaimanapun menegaskan sebarang bentuk kerjasama hanya akan diumumkan selepas proses rundingan selesai.

Rundingan itu dilihat penting bagi mengelakkan pertembungan sesama parti berpotensi memecahkan undi pengundi yang menolak BN, selain membuka ruang pembahagian kerusi lebih tersusun.

Bagaimanapun, usaha itu berdepan cabaran apabila Timbalan Pengerusi PH Melaka, Khoo Poay Tiong daripada DAP, menyatakan penolakan terhadap kerjasama dengan mana-mana parti, khususnya BERSATU.

Ia menunjukkan kesediaan meneroka kerjasama di peringkat rundingan tidak semestinya membawa persetujuan di peringkat semua parti komponen.

Perbezaan itu juga meletakkan PH dalam keadaan sukar kerana keputusan kerjasama bukan sekadar membabitkan pembahagian kerusi, malah memerlukan kesepakatan politik antara parti yang mempunyai latar belakang, kepentingan dan pertimbangan pengundi berbeza.

Bagi BERSATU pula, kerjasama dengan PH boleh menjadi laluan memperkukuh kedudukan dalam persaingan pilihan raya, terutama di kawasan berpotensi menyaksikan pertandingan sengit.

Namun, tanpa persetujuan bersama, parti itu berisiko berdepan persaingan berbilang penjuru yang boleh menjejaskan peluang kemenangannya.

Dalam konteks semasa, keputusan BN-PAS juga berpotensi mengubah perkiraan strategi PH dan BERSATU.

Tentukan bergerak bersama, bertanding berasingan

Dengan pembahagian kerusi BN dan PAS yang sudah diumumkan, PH-BERSATU perlu menentukan sama ada mahu bergerak bersama atau bertanding berasingan, dengan setiap pilihan membawa risiko tersendiri.

Persoalan penggunaan logo, calon dan kemampuan jentera parti menyatukan sokongan pengundi turut menjadi faktor boleh mempengaruhi keputusan akhir.

Dalam pilihan raya hanya membabitkan 28 kerusi DUN, pertindihan calon dan perpecahan undi boleh memberi kesan besar terhadap keputusan di kawasan tertentu.

Tumpuan kini terarah kepada pengumuman calon BN dan PH dijadualkan 24 Oktober ini, selain perkembangan rundingan PH-BERSATU dalam tempoh terdekat.

Senarai calon bukan sahaja akan memperlihatkan kekuatan sebenar setiap parti, malah berpotensi memberikan petunjuk sama ada kerjasama politik dirancang benar-benar berjaya dimuktamadkan.

Apa pun keputusan akhir, PRN Melaka bukan sekadar pertarungan merebut kerusi, bahkan menguji kemampuan parti politik membina persefahaman dalam keadaan kepentingan masing-masing tidak semestinya sehaluan.

BN sudah menjelaskan kedudukannya bersama PAS, namun PH dan BERSATU belum menemui jawapan.