KUALA LUMPUR – Mesyuarat tergempar ahli Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) malam tadi memutuskan untuk memulakan prosiding tatatertib terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas dakwaan melakukan tindakan yang bertentangan dengan kepentingan gabungan itu.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, tindakan berkenaan diputuskan dalam mesyuarat MT PN berdasarkan Fasal 15 Perlembagaan PN yang memberi kuasa kepada gabungan itu mengambil tindakan terhadap parti anggotanya.
Beliau berkata, tindakan yang boleh dikenakan termasuk memberi amaran, menggantung keanggotaan atau memecat parti berkenaan.
Menurutnya, PN akan menyediakan tuduhan terhadap Bersatu sebelum menyerahkannya kepada parti itu untuk dijawab dalam tempoh munasabah.
“Pihak PN akan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya dalam satu prosiding tatatertib dan akan menyerahkan tuduhan-tuduhan yang akan dibuat kepada pihak parti anggota ini, Bersatu.
“Mereka sudah tentulah akan diberikan masa, tempoh masa yang mencukupi untuk menjawab,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi PN malam ini.

Beliau berkata, tindakan yang bercanggah dengan kepentingan PN termasuk bertanding menentang calon gabungan itu dalam pilihan raya.
Bagaimanapun, katanya, penyertaan Bersatu di kerusi yang tidak ditandingi PN tidak semestinya menimbulkan isu tatatertib tertakluk kepada peruntukan perlembagaan dan kebenaran yang berkaitan.
“Kalau dia masih lagi parti anggota, kalau dia bertanding atas logo sendiri sebenarnya dibenarkan dalam perlembagaan dengan kebenaranlah. Tapi kalau dia lawan pula dengan PN, itu dah bercanggah.
“Kalau lawan di tempat yang kita tak tanding, ikutlah,” katanya.
Takiyuddin turut menjelaskan tindakan tatatertib itu akan dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan termasuk memberikan peluang kepada Bersatu menjawab tuduhan sebelum tindakan selanjutnya dipertimbangkan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, PN sebelum ini turut menggunakan pendekatan sama terhadap parti anggota lain yang berdepan masalah dalaman dengan meminta parti berkenaan menyelesaikan masalah masing-masing sebelum kembali menyertai mesyuarat gabungan.
Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan urusan PN berjalan mengikut perlembagaan dan tidak terjejas oleh masalah dalaman parti anggotanya.
Dalam perkembangan berkaitan, mesyuarat Majlis Tertinggi PN turut memutuskan gabungan itu akan menggunakan logo PN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.
Beliau berkata, jumlah kerusi yang akan ditandingi dan calon yang bakal mewakili parti komponen masih belum dimuktamadkan dan akan diputuskan menerusi beberapa siri mesyuarat akan datang. – MalaysiaGazette

