Kanak-kanak lelaki enam tahun lemas ketika memancing, tiada unsur jenayah

KULAI: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kes seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan lemas di sebuah kolam takungan air berhampiran Taman Sungai Mas di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Komisioner Tan Seng Lee berkata, siasatan awal mendapati ibu bapa mangsa keluar bekerja pada jam 6.30 pagi selepas mendapati anak mereka sedang tidur bersama kakaknya yang berusia 17 tahun.


Bagaimanapun, beliau berkata, pada jam 10 pagi, ibu mangsa dihubungi seorang kenalan yang memaklumkan anaknya ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kolam berkenaan, kira-kira 50 meter dari kediaman mereka.

“Mangsa dibawa keluar daripada kolam oleh anggota bomba.

“Hasil siasatan, mangsa dipercayai pergi ke kolam berkenaan sendirian untuk memancing, susulan penemuan sebatang joran berhampiran lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pada jam 11.15 pagi, manakala hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat lemas.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR). Siasatan lanjut bagaimanapun masih diteruskan,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau menasihati ibu bapa dan penjaga supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak serta tidak membiarkan mereka melakukan aktiviti di kawasan berisiko seperti kolam, sungai dan perairan tanpa pengawasan orang dewasa.

Semalam, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam kolam takungan ketika memancing.

Satu video turut tular di media sosial memaparkan insiden berkenaan yang menarik perhatian umum apabila seorang wanita dipercayai ibu mangsa dilihat masih berusaha memberikan bantuan kecemasan menerusi kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR) untuk menyelamatkan kanak-kanak itu, yang dipercayai sudah meninggal dunia.

Sumber : BULETIN TV3