WASHINGTON: Randal Kolo Muani dan Francisco Conceicao masing-masing menjaringkan dua gol ketika Juventus membelasah Al-Ain 5-0 pada aksi pertama Kumpulan G Piala Dunia Kelab di Washington, pagi tadi.
Kelab gergasi Itali itu, yang turut menghantar delegasi untuk melawat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump di White House sebelum perlawanan, kini mendahului kumpulan mengatasi Manchester City, yang sebelum itu menewaskan Wydad Casablanca 2-0.
Ketika lawatan itu, beberapa pemain dan staf Juventus ditanya oleh Trump – yang menerima sehelai jersi kelab sebagai cenderamata – sama ada mereka percaya seorang wanita boleh bermain dalam pasukan utama mereka.
Trump sebenarnya ingin membangkitkan isu berkaitan atlet transgender, namun pengurus besar Juventus, Damien Comolli menjawab kelab itu mempunyai “pasukan wanita yang amat bagus.”
Pemain Juventus hanya berdiam diri tetapi tampil lebih yakin di tengah padang apabila mereka merobek benteng pertahanan kelab Emiriah Arab Bersatu, Al-Ain di Audi Field.
Kolo Muani, yang melanjutkan pinjamannya dari Paris Saint-Germain bagi menyertai kejohanan di AS, membuka tirai jaringan pada minit ke-11 menerusi tandukan padu hasil hantaran lintang Alberto Costa.


Pasukan kendalian Igor Tudor itu menggandakan jaringan 10 minit kemudian apabila Conceicao, yang dipinjam dari Porto, melepasi seorang pertahanan dalam kotak penalti sebelum melepaskan rembatan yang terbias sedikit.
Penyerang Turkiye, Kenan Yildiz menambah gol ketiga pada minit ke-31 apabila dia mencipta ruang di depan kotak penalti sebelum merembat masuk.
Penyerang Perancis, Kolo Muani menjaringkan gol keduanya pada masa kecederaan babak pertama dengan penyudah tenang, menjadikan kedudukan 4-0 dan terus menghancurkan semangat Al-Ain.
Kouame Autonne sempat menjaringkan gol untuk Al-Ain tetapi dibatalkan kerana ofsaid, sebelum Conceicao menjaringkan gol keduanya yang turut terbias sedikit.
Kolo Muani hampir melengkapkan hatrik apabila berjaya melepasi pertahanan, tetapi percubaannya diselamatkan kemas oleh penjaga gol Rui Patricio, manakala Douglas Luiz pula hampir menambah jaringan dengan rembatan yang sedikit tersasar pada lewat permainan.
Juventus, yang menamatkan saingan Serie A di tangga keempat musim lalu, berharap untuk menebus musim tanpa trofi dengan kejayaan pada kejohanan musim panas di AS itu. – AFP



