Anggota keselamatan menunggu giliran untuk mengundi awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, hari ini. – Gambar Bernama
MELAKA: Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 pagi ini berjalan lancar, dengan sebahagian anggota keselamatan mengambil kesempatan cuaca cerah di awal pagi untuk hadir ke pusat pengundian.
Di Pusat Pengundian Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, tinjauan Bernama mendapati anggota polis yang layak mengundi hadir seawal 7.30 pagi dan mula beratur untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada 7.53 pagi.
Proses pengundian berjalan dalam keadaan terkawal sebaik pusat mengundi yang terletak dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh itu dibuka pada 8 pagi, dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dengan 817 anggota polis akan mengundi awal di pusat berkenaan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar yang tiba pada 7.52 pagi, meluangkan masa meninjau perjalanan proses pengundian sebelum menunaikan tanggungjawabnya mengundi di saluran satu pada 8.42 pagi.
DUN Ayer Keroh menyaksikan pertembungan empat penjuru melibatkan penyandang Kerk Chee Yee (Pakatan Harapan), Datuk Seri Michael Gan Peng Lam (Perikatan Nasional), Muhammad Muhaimin Lau Abdullah (Parti Bersama Malaysia) dan Mohd Hamnaim Mohamad (Parti Pribumi Bersatu Malaysia).
Mohd Hamnaim turut dilihat meninjau proses pengundian di pusat itu.
Selamanya Malaysia

