PUTRAJAYA – Kemajuan teknologi, pelaburan dan pembangunan industri tidak memadai untuk menjamin kekuatan sesebuah negara sekiranya tidak disertai akhlak serta sahsiah masyarakat yang kukuh.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kekuatan dalaman umat Islam perlu terus dibina menerusi pendidikan agama khususnya dengan memperkasakan institusi madrasah dan maahad tahfiz sebagai benteng mempertahankan akidah serta jati diri.
Beliau berkata, sejarah penjajahan membuktikan penguasaan terhadap sesebuah negara bukan sekadar dilakukan melalui kekuatan ketenteraan dan teknologi sebaliknya turut melibatkan usaha menakluki jiwa, pemikiran serta sistem pendidikan masyarakat.
Menurutnya, penjajahan British di Tanah Melayu, Belanda di Indonesia dan Perancis di Afrika Utara turut memberi kesan terhadap bahasa, budaya, sastera serta nilai kehidupan masyarakat Islam.
“Dalam keadaan itu semuanya terjejas, sesudah politik golongan bangsawan tetapi ilmu dan sistem pendidikan semuanya terjajah.
“Dalam keadaan itu, satu-satunya benteng pertahanan kita yang kekal adalah madrasah, maahad tahfiz dan yang menanamkan kekuatan akidah, akhlak, sahsiah malah roh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadis Jami’ al-Tirmidhi dan al-Syama’il al-Muhammadiyyah Peringkat Antarabangsa 2026 di Masjid Putra malam ini.
Hadir sama Mufti Besar India, Al-Allamah Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari; Menteri Waqaf Republik Arab Mesir, Al-Allamah Sheikh Dr. Usama Sayyid Mahmud Muhammad Saad al-Azhari; Syeikhul Majlis, Guru Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Anwar berkata, kesan penjajahan terhadap sistem pendidikan dan pemikiran umat Islam mengambil masa serta kekuatan untuk dipulihkan, justeru usaha menghidupkan semula institusi pendidikan Islam yang terbiar dan daif perlu diteruskan.
Katanya, usaha berkenaan sudah dimulakan secara berperingkat sejak beberapa tahun lalu bagi mengembalikan peranan madrasah dan maahad tahfiz dalam membina kekuatan akidah, akhlak serta keperibadian masyarakat.
Dalam pada itu, beliau menegaskan, kemajuan negara perlu disertai pembentukan masyarakat yang mempunyai pegangan agama dan kekuatan sahsiah.
“Negara ini menggapai nilainya, semua teknologi, bangun naik dan digital, betul negara-negara lain negara kaya tetapi kekuatan akhlak dan sahsiah,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar berkata, tradisi pengajian hadis dan penganjuran majlis ilmu perlu terus dihidupkan bagi memperkukuh kefahaman agama serta menjadikan masjid sebagai pusat kegiatan masyarakat Islam.
Beliau berkata, penganjuran majlis khatam hadis itu merupakan kesinambungan tradisi pengajian ilmu yang sebelum ini memberi tumpuan kepada Sahih Bukhari dan Sahih Muslim selain al-Syama’il al-Muhammadiyyah.
Usaha berkenaan bukan sekadar meneruskan tradisi keilmuan, malah penting dalam mengimarahkan masjid sebagai tonggak kegiatan masyarakat, katanya.
“Bukan sahaja tradisi ilmiah kerana mengenal penjelasan dan kupasan hadis tetapi lebih penting menghidupkan, pertama mengimarahkan masjid. Masjid menjadi tonggak dalam kegiatan kita,” katanya.
Anwar turut berkongsi nasihat seorang ulama dari Kerala, India yang ditemuinya sebelum ini supaya terus istiqamah membaca al-Quran, memahami tafsir dan menghidupkan roh ilmu.
Menurutnya, hubungan dengan golongan ulama tidak seharusnya terhenti sekadar pertemuan sebaliknya perlu diterjemahkan melalui usaha berterusan menghidupkan majlis ilmu dan mengimarahkan masjid.
“Beliau memberikan peringatan dan nasihat berterusan supaya istiqamah dan ingat, selagi berterusan pembacaan al-Quran, memahami membaca tafsirnya dan menghidupkan roh,” katanya.
Beliau berharap usaha memperkasakan institusi pendidikan Islam dan menghidupkan tradisi pengajian hadis dapat membantu membina Malaysia sebagai negara yang bukan sahaja maju dari sudut pembangunan dan teknologi, malah mempunyai kekuatan akhlak, sahsiah serta nilai ketamadunan yang tinggi. – MalaysiaGazette

