PM beri sumbangan bantu peniaga kecil hadapi kesempitan hidup

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi sumbangan kepada seorang peniaga kecil yang berdepan kesukaran untuk membaiki rumah uzurnya serta menyara keluarga dalam keadaan isteri menghidap penyakit kronik di Balok, Kuantan.

Sumbangan itu disampaikan oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi, ketika menziarahi Mohd Zaki Che Ibrahim, 45, dan isterinya menerusi program Ziarah MADANI.

Sambil memaklumkan bahawa pasangan itu mempunyai seorang anak lelaki berumur 18 tahun, Ahmad Farhan berkata, Mohd Zaki berniaga juadah sarapan secara kecil-kecilan setiap pagi demi kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

“Dalam keadaan kesihatan isterinya yang tidak menentu akibat menghidap penyakit SLE (Sistemik Lupus Eritematosus), mereka tetap cekal menghidupkan dapur sendiri dan memenuhi keperluan seorang anak,” katanya dalam catatan melalui Facebook yang turut dikongsikan Perdana Menteri, hari ini.

Ahmad Farhan berkata, rumah didiami keluarga itu kini uzur dengan bumbung bocor, lantai pecah dan dinding retak, sekali gus menambah tekanan kepada kehidupan harian mereka.

“Dalam semangat Ziarah MADANI, saya hadir mewakili Perdana Menteri untuk menyampaikan sumbangan dan meneliti bentuk bantuan yang wajar disegerakan agar keluarga ini dapat kembali hidup dengan lebih aman serta selesa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kisah keluarga itu sebagai satu perjuangan yang tidak ramai ketahui, dan berharap bantuan berkenaan dapat membawa sedikit kelegaan dalam kehidupan mereka.

“Di sebalik gerai sarapan itu, ada sebuah kisah perjuangan yang tidak pernah diketahui ramai… dan di sebalik sumbangan ini, tersemat doa agar mereka tidak lagi berjuang sendirian,” katanya.