PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini bersiap sedia memfailkan permohonan pelucuthakan ke atas pelbagai aset mewah yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ia melibatkan wang tunai berjumlah RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam sebuah safehouse.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan semua siasatan terhadap kes tersebut telah pun selesai dan kini bergantung kepada keputusan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk menentukan sama ada pendakwaan jenayah akan diteruskan atau tidak.
“Kita telah lengkapkan siasatan, sekarang ia berada di tangan TPR. Namun mereka telah bersetuju untuk kita memfailkan pelucuthakan aset dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang selepas afidavit dikemukakan,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Azam, sekiranya permohonan pelucuthakan itu tidak dicabar, semua aset berkenaan akan diserahkan kepada kerajaan sebagai hasil negara.
“Jika berjaya dilucut hak, wang dan aset ini akan menjadi milik kerajaan. Tetapi sekiranya ia ditentang, maka kes akan dibicarakan di mahkamah seperti biasa,” jelasnya.
Difahamkan, kesemua aset tersebut termasuk yang pernah didedahkan kepada media SPRM sebelum ini membabitkan siasatan terhadap perbelanjaan promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia yang berlangsung ketika pentadbiran Ismail Sabri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Ismail Sabri beberapa kali dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Azam menegaskan keputusan akhir mengenai pendakwaan jenayah sepenuhnya terletak pada pertimbangan TPR.
“Kita dah siapkan semua kerja kita. Soal sama ada pertuduhan atau tidak, itu hak mutlak TPR untuk putuskan,” katanya. –MalaysiaGazette

