,

Dua remaja termasuk bawah umur direman kes samun, rogol penuntut IPTA

MUAR – Dua remaja termasuk seorang masih bawah umur direman selepas disyaki menyamun dan merogol seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di Pagoh dekat sini kelmarin.

Suspek yang berusia 19 tahun direman lima hari manakala seorang lagi berusia 17 tahun selama tiga hari selepas mendapat perintah Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Fatin Dalilah Khalid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan manakala reman bagi Seksyen 376 kanun sama, akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Berdasarkan laporan dibuat, kejadian berlaku pada pukul 8.30 malam kelmarin ketika mangsa yang berusia 20 tahun membonceng motosikal teman lelakinya berusia 23 tahun.

Ketika melalui Jalan Kampung Jawa, Panchor, mangsa dan teman lelaki ditahan kedua-dua suspek yang menaiki sebuah motosikal sebelum meminta menyerahkan wang tunai.

Suspek kemudian mengambil beg tangan mengandungi wang tunai RM250 namun suspek memberitahu jumlah itu belum mencukupi.

Salah seorang suspek menumbuk muka mangsa lelaki menyebabkannya terjatuh sebelum memintanya meninggalkan teman wanita bersama-sama mereka.

Kedua-dua suspek membawa mangsa menaiki sebuah motosikal menuju ke kebun sawit berdekatan lalu merogolnya.

Selepas kejadian itu, mangsa dihantar pulang oleh suspek ke kampus.

Laporan polis kemudian dibuat oleh mangsa dan teman lelaki di Balai Polis Panchor pada hari kejadian. – MalaysiaGazette