Pan Gon ‘perah otak’ perangkap Oman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon kekal positif menjelang pertembungan getir dengan Oman di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Selasa ini.

Skuad Pan Gon membawa misi besar untuk mengejutkan pasukan ranking 80 dunia itu bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2026 dan menempah tiket ke Piala Asia 2027.

Kekalahan 0-2 kepada Oman dalam aksi di Muscat, Jumaat lalu tidak bermakna Harimau Malaya tidak boleh mencipta kejutan ke atas Oman yang menjadi pilihan utama dalam Kumpulan D.

Pan Gon menjelaskan pasukannya akan mencuba sedaya upaya bagi memastikan persembahan lebih baik dapat ditampilkan berbanding ketika aksi di Muscat.

“Apa jua situasinya, kita masih ada tiga perlawanan lagi, jadi lebih baik bersikap positif dan melihat ke depan. Kami akan merangka pelan untuk menghadapi satu lagi perlawanan dengan Oman.

“Saya tiada rungutan terhadap pemain, kita hargai sumbangan mereka yang mencuba sehabis baik. Kita tahu peminat mungkin kecewa tetapi kami akan cuba bersiap sedia untuk berikan aksi terbaik,” katanya.

Harimau Malaya kini berada di kedudukan ketiga kumpulan susulan kekalahan di Muscat, namun terikat enam mata bersama Oman dan Kyrgyzstan yang menghuni kedudukan dua teratas.

Jurulatih berpengalaman, Sulaiman Hussin menyifatkan Pan Gon perlu ‘merawat’ mental pemain Harimau Malaya untuk berdepan Oman dalam usaha mendapatkan keputusan positif.

Pada aksi di Muscat, masalah kecergasan pemain dilihat menjadi antara faktor Harimau Malaya tewas kepada Oman kerana saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini masih belum bermula.

Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027

Selasa

Malaysia mln Oman, 10 mlm

Kyrgyzstan mln Taiwan, 10 mlm

P M S K J B MT

Oman 3 2 0 1 5 1 6 Kyrgyzstan 3 2 0 1 6 4 6 Malaysia 3 2 0 1 5 5 6

Taiwan 3 0 0 3 0 6 0