MalaysiaPolitic

Mat Hasan: Mungkin perubahan undi 2-3 peratus lepas Najib diarah bela diri

Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan tidak menolak kemungkinan undi terhadap BN di PRK Tanjung Piai merosot antara dua hingga tiga peratus, susulan mahkamah memutuskan Najib Razak perlu membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC).

Bagaimanapun Mohamad berkata kebanyakan pengundi sudah membuat pilihan mereka sebelum keputusan mahkamah itu.

“Mungkin ada perubahan dua ke tiga peratus ekoran kes itu tetapi rakyat dah buat keputusan nak pilih siapa dalam PRK Tanjung Piai,”katanya ketika ditemui pemberita di pusat daerah mengundi (PDM) Telok Kerang semalam.

Keputusan itu disampaikan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam, bagi kesemua tujuh pertuduhan terhadap bekas perdana menteri itu berkaitan SRC.

Mohd Nazlan antara lain berkata Najib memainkan peranan dalam pinjaman SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 dan turut menggunakan dana daripada SRC untuk kepentingan peribadi.

Pandangan Mohamad itu sedikit berbeza dengan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang berkata perkembangan itu tidak menjejaskan kempen pembangkang di Tanjung Piai.

Malah Zahid berkata kunjungan bekas perdana menteri ke Tanjung Piai menerima sambutan sangat baik daripada penduduk.

Mengulas lanjut, Mohamad menyatakan rasa duka cita atas keputusan mahkamah itu tetapi berkata ada sisi positif daripadanya, iaitu Najib kini berpeluang untuk membela diri dan menjawab tuduhan ke atasnya.

“Kita dapat tahu tadi dan saya duka cita kerana Najib telah pun diputuskan untuk bela diri, itu dari segi negatif. Dari segi positif, ini peluang Najib untuk panggil saksi-saksinya pula sebab sebelum ini saksi pendakwa (yang dipanggil).

“ […] untuk berikan keterangan dan berikan bukti dan pihak pembelaan akan bantu dalam kes. Najib pun akan disoal dan ditanya dan boleh terangkan kerana hakim buat keputusan (untuk Najib bela diri) kerana saksi dari pihak pendakwaan, biasalahkan (menyatakan) Najib bersalah,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan selepas penyandangnya, bekas timbalan menteri di jabatan perdana menteri Dr Md Farid Md Rafik, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu.

Ia menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon BN Wee Jeck Seng, Karmaine Sardini (PH), Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

SPR menetapkan tarikh mengundi pada 16 November manakala hari pengundian awal hari ini. 

Source
Malaysiakini
Show More

Related Articles

Back to top button
Close
Close