China cadang eksesais maritim bersama ASEAN

BANGKOK, 19 Nov — Selepas kejayaan eksesais maritim pada tahun lepas, China bercadang mengadakan satu lagi latihan tentera laut dengan ASEAN untuk mengukuhkan hubungan ketenteraan dan mempromosikan keselamatan maritim di rantau ini.
Bernama difahamkan dalam mesyuarat tidak rasmi Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan China pada Ahad lepas, Menteri Pertahanan China Wei Fenghe telah menyatakan hasrat China untuk mengadakan satu lagi latihan tentera laut pelbagai hala.
Menurut sumber daripada Kementerian Pertahanan Malaysia, kesemua menteri pertahanan mengambil maklum cadangan itu namun ia belum dimuktamadkan lagi.
“China perlu mengemukakan cadangan rasmi sebelum kesemua 10 anggota negara ASEAN membuat keputusan. Sebarang keputusan akan dibuat secara sebulat suara,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Pada Oktober 2018 , ASEAN and China mengadakan latihan tentera laut yang pertama di pangkalan tentera laut Zhanjiang di selatan China.
Pada September tahun ini, ASEAN dan Amerika Syarikat mengadakan eksesais maritim pertama bermula dari Pangkalan Tentera Laut Sattahip di Thailand dan berakhir di Singapura.
Dipimpin bersama oleh Amerika Syarikat dan Tentera Laut Diraja Thailand, eksesais itu merentasi perairan antarabangsa di Asia Tenggara termasuk Teluk Siam dan Laut China Selatan dan berakhir di Singapura.
Semalam, ADMM Plus dalam satu kenyataan bersama berkata latihan maritim yang dijalankan oleh kesemua 10 anggota negara ASEAN dengan China dan AS mencerminkan kerjasama praktikal ke arah memperkukuhkan kepusatan ASEAN dalam keselamatan serantau.
Ia berkata latihan tentera laut dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama dalam kalangan negara anggota.
— BERNAMA