NewsWorld

Wanita sarat mengandung maut dibaham anjing liar

PARIS : Seorang wanita sarat mengandung maut selepas dibaham sekumpulan anjing ketika sedang bersiar di dalam hutan di Perancis.

Elisa Pilaski, 29 ditemui mati oleh suaminya, tengah hari Sabtu di Hutan Retz, utara Paris iaitu lokasi kejadian.

Bedah siasat yang dijalankan pada Isnin mendapati, mangsa menemui ajal akibat pendarahan teruk antara jam 1 petang dan 1.30 petang (waktu tempatan), susulan gigitan di bahagian atas serta bawah tubuh, termasuk di sekitar kepala.

Akhbar tempatan, L’Union melaporkan, beberapa gigitan itu berlaku ketika mangsa masih bernyawa, manakala selebihnya apabila beliau sudah meninggal dunia.

Polis sedang menyiasat jika kejadian itu dilakukan sekumpulan anjing liar yang berada di lokasi dan mengambil contoh DNA dari kesemua haiwan berkenaan.

Contoh turut diambil daripada anjing milik mangsa, termasuk yang menemani Elisa bersiar di hutan terbabit ketika kejadian dan ujian masih berjalan.

Laporan stesen televisyen TVA Nouvelles menyebut, wanita itu sempat menghubungi suaminya untuk menyuarakan perasaan bimbang akan diserang sekumpulan anjing.

Suami mangsa yang bertugas di lapangan terbang Charles de Gaulle tiba di lokasi kira-kira 45 minit kemudian, sebelum menemui mayat isterinya dalam keadaan mengerikan.

Menurut polis, terdapat kemungkinan mangsa diserang kumpulan anjing liar terbabit atau anjing miliknya sendiri.

Hutan Retz dengan kawasan meliputi 13,000 hektar adalah antara yang terbesar di Perancis. – Agensi

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close