Nak tidur pun kena cukai?

“KALAU tak boleh bayar cukai katil…terpaksa tidur bawah jambatan,” kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Itu reaksi Mohamaddin mengenai rancangan Kerajaan Johor yang kini sedang mempertimbangkan cukai katil kepada pelancong yang mahu menginap di hotel sekitar negeri itu.
Mohamaddin berkata, beliau tidak bersetuju pengenalan cukai itu, namun akan menyiasat lanjut perkara itu.
“Saya sendiri sebenarnya agak hairan, macam tak bersetuju…bagaimanapun saya akan menjemput Exco kerajaan negeri bagi bertanyakan mengenai perkara ini.
“Sebetulnya ia (cukai katil) tidak pernah dibawa ke peringkat kementerian saya.
“Saya agak macam hairan sikit rupanya sekarang katil pun ada jugak cukai,” katanya pada sesi soal jawab ketika Sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Kenyataan Mohamaddin yang secara bersahaja itu mencuit hati ahli dewan.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) yang ingin tahu mengenai usaha Kerajaan Johor yang ingin mempertimbangkan pengenalan cukai katil.
Katanya, beliau menggambarkan bahawa mungkin cukai katil sudah termasuk dalam cukai hotel.
Sebelum ini, Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor, Liow Cai Tung memaklumkan sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan cukai katil kepada pelancong yang menginap di negeri ini.
“Kami sedang memperhalusi mekanisme pelaksanaannya dan kadar cukai yang akan dikenakan.
“Namun begitu, kadar cukai yang dikenakan pasti tidak terlalu tinggi,” katanya.