Malaysia

Harimau Malaya kini ranking 154 dunia

KUALA LUMPUR: Seperti yang dijangkakan, skuad Harimau Malaya mendaki empat lagi anak tangga untuk menghuni tangga ke-154 dunia dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Perkembangan itu diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi laman sosial rasminya susulan kemaskini ranking terbaharu, semalam.

Pencapaian itu menyaksikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu menghimpun mata keseluruhan sebanyak 1040 mata berbanding 1009 mata sebelum ini.

Kutipan mata itu disumbangkan menerusi tiga kemenangan berturut turut yang dilakar skuad negara apabila menumbangkan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan selain dua kemenangan ke atas seteru Asia Tenggara iaitu Thailand (2-1) dan Indonesia (2-0).

Kemenangan ke atas skuad Gajah Perang dan skuad Garuda jelas menyumbangkan mata yang tinggi memandangkan ia membabitkan perlawanan Kelayakan Piala Dunia/ Piala Asia 2023.

Malah, skuad negara masih berpeluang untuk mengutip sekurang kurangnya 50 mata lagi bagi meningkatkan lagi kedudukan ranking mereka menerusi tiga lagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan diharungi tahun depan.

Secara keseluruhan, Jepun kekal unggul sebagai pasukan nombor satu Asia dengan menduduki ranking ke-28 dunia diikuti Iran (42), Korea Selatan (41) dan Australia (42).

Bagi Asia Tenggara, Vietnam kekal mendahului carta pada kedudukan ke-94 dunia, diikuti Thailand (113), Filipina (124) dan Myanmar (136).

Lain lain kedudukan menyaksikan Singapura (157), Indonesia dan Kemboja (173), Laos (188), Brunei (191) serta Timor Leste (196).

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close