Jurang pencapaian antara kaum punca Malaysia gagal capai status negara maju, kata Dr M

PUTRAJAYA: Putrajaya mengakui jurang pencapaian antara kaum yang wujud di negara ini antara sebab Malaysia tidak dapat mencapai status negara maju seperti dikecapi Korea Selatan dan China.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, lebih malang apabila jurang pencapaian antara kaum tertentu terlalu besar hingga menimbulkan perbezaan ketara antara golongan kaya dan miskin di dalam negara.
“Sekarang ini terdapat 2 lagi negara Asia yang mencapai tahap negara maju, iaitu Korea Selatan dan China. Kenapa Malaysia tidak dapat capai kemajuan yang sama? Kita memang mempunyai banyak masalah.
“Antaranya negara kita ini berbilang kaum. Malangnya pencapaian kaum ini tidak sama. Ada kaum yang maju ke hadapan, ada yang ketinggalan di belakang,” katanya sewaktu perjumpaan perdana menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Mahathir berkata, beliau turut bimbang apabila jurang pendapatan antara golongan miskin dan kaya mengikut kaum terus melebar hingga boleh menyebabkan gerakan revolusi seperti yang berlaku di negara Eropah.
“Keadaan ini tidak sihat bagi sesebuah negara. Kalau ada terpisah kaum dan kaum ini mencerminkan pencapaian mereka, maka negara kita tidak akan jadi selamat kerana jarak miskin dan kaya memang jadi satu masalah bagi mana-mana negara.
“Ini kita dapat lihat apa yang berlaku di Eropah, maka berlakulah revolusi yang miskin mengambil alih negara supaya dapat menolong diri mereka. Kita bernasib baik kerana Malaysia tidak ada revolusi.
“Jika jarak terlalu jauh, akan timbul perasaan iri hati dan sebagainya. Lama kelamaan mungkin mereka akan ambil tindakan yang tidak mengikuti undang-undang negara,” katanya.
Tambah Mahathir, menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dirangka Putrajaya, ia dapat membantu golongan miskin memperbaiki taraf kehidupan mereka, namun segalanya bermula dengan diri golongan itu sendiri.
“Mereka yang miskin perlu sambut jadual yang ditentukan untuk tolong pihak miskin. Kita tidak boleh atasi kemiskinan dengan cara memberi wang, ini tidak boleh menjadikan mereka lebih kaya.
“Kalau berikan bantuan kewangan, mereka akan tetap miskin. Cara untuk atasinya adalah si miskin perlu terima cadangan kerajaan supaya mereka dapat atasi kemiskinan mereka,” katanya.
Menurut Mahathir, Putrajaya akan cuba membantu dengan mengenal pasti perusahaan dan pekerjaan lain yang boleh diusahakan untuk golongan miskin
“Bagaimanapun, mereka juga perlu berusaha sendiri dengan sedikit bantuan daripada kerajaan,” katanya.