Malaysia

Buruh hadapi 105 tuduhan rogol, liwat anak kandung

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini hari ini bagi menghadapi 104 pertuduhan merogol dan satu tuduhan meliwat anak kandungnya berusia 15 tahun, sejak Ogos lalu.

Lelaki berusia 46 tahun itu didakwa melakukan jenayah berkenaan ke atas anak sulungnya setiap hari bermula 14 Ogos hingga 26 November antara jam 12.01 hingga 12.30 tengah malam dan meliwat mangsa pada 26 November, antara jam 12.01 tengah malam hingga 4 pagi di rumahnya di Kuala Berang.

Dia menghadapi 104 pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta minimum 10 sebatan.

Satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 377C kanun sama kerana jenayah liwat yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara antara lima hingga 20 tahun serta sebatan.

Dilaporkan, mangsa tinggal dalam jagaan sementara bapa kandungnya itu sejak Mei lalu dan mendakwa dirogol setiap hari dari tarikh terbabit, namun takut menceritakan kejadian itu.

Perbuatan buruh itu hanya terbongkar apabila mangsa mengadu sakit dan dibawa oleh ibunya ke Hospital Kemaman sebelum menceritakan kejadian terbabit. Satu laporan polis dibuat pada 1 Disember lalu di Balai Polis Chukai, Kemaman.

Tertuduh dan ibu mangsa difahamkan sudah bercerai 11 tahun lalu dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan empat anak.

Pada prosiding hari ini, lelaki berkenaan terpaksa berdiri hampir dua jam untuk mendengar semua 105 pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Dia yang tidak diwakili peguam, kemudian mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan, tetapi tidak dibenarkan diikat jamin. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Mahkamah menetapkan 15 Januari depan untuk sebutan kes.

Source
Berita Harian
Show More

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button
Close
Close